Aktiviti tadarus al-Quran merupakan satu ibadah yang besar ganjarannya di sisi Allah. Selain itu, ia juga bantu untuk mengeratkan silaturrahim.
Untuk ketahui lebih lanjut mengenai tadarus al-Quran, anda perlu ikuti artikel ini sehingga habis.
Maksud Tadarus Al-Quran
Tadarus al-Quran bermaksud membaca al-Quran seorang demi seorang di dalam satu kumpulan.
Salah seorang akan membaca dan yang lain akan mendengarnya, kemudian akan disambung pula oleh orang yang berikutnya dan yang lain mendengarnya.
Begitulah seterusnya sehingga semua orang habis membaca.
Kebaikan membaca al-Quran secara bertadarus ialah dapat mengetahui kesalahan bacaan apabila ditegur dan dapat memperbaiki mutu bacaan pada yang berikutnya.
Bagaimana Tadarus Al – Quran Dijalankan?
Semua muslim perlu ambil maklum mengenai kaedah untuk membaca al-Quran secara beramai-ramai.
Antara kaedahnya adalah:
- Membaca Secara Bergilir
Kaedah ini dibuat untuk kita mendengar bacaan seseorang yang jauh lebih baik dari kita atau untuk kita perbaiki bacaan seseorang.
- Mengulangi Bacaan Orang Yang Pertama
Kaedah kedua ini berbeza dengan kaedah yang pertama. Perbezaannya adalah setiap orang akan mengulangi bacaan orang pertama.
Contohnya, jika ada empat orang sedang bertadarus, orang yang pertama membaca Surah Al-Waqiah ayat 1-10, maka orang yang kedua hingga keempat akan mengulangi ayat yang sama sehingga habis.
Ini bertujuan untuk menyemak bacaan setiap orang dengan surah dan ayat yang sama supaya orang yang membacanya akan perbaiki bacaanya dan mengaji dengan lancar.
- Menyambung Bacaan Orang Lain
Kaedah ketiga ini begitu masyhur dalam kalangan rakyat Malaysia yang sememangnya bertadarus di surau dan masjid.
Caranya yang di mana seorang akan baca Surah Ar-Rahman dari ayat 1 hingga 10.
Kemudian, orang seterusnya akan sambung ayat 11 sehingga 20 dan sehingga tamat surah.
- Mengaji Dengan Serentak
Kaedah yang terakhir ini adalah dengan semua orang hadir untuk membaca dengan bersama-sama sehingga habis.
Oleh yang demikian, tidak menjadi masalah untuk memilih mana-mana kaedah untuk kita gunakan.
Cuma, apabila berbicara mengenai khatam al-Quran, ianya menjadi kewajipan untuk kita membacanya daripada awal sehingga habis 30 juzuk.
Adab Ketika Bertadarus
Ibadah membaca al-Quran merupakan salah satu amalan yang dapat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT selain menyuburkan tanaman kita di akhirat kelak.
Oleh itu, kita perlu cakna tentang adab-adab untuk membaca al-Quran. Antaranya ialah:
- Berwuduk
Allah sangat suka akan kebersihan dan ianya juga adalah separuh daripada iman.
Salah satu cara kita bersuci adalah dengan mengambil wuduk sebelum membaca al-Quran.
- Duduk Menghadap Kiblat
Terdapat hadis Nabi Muhammad SAW mengenai sunat untuk membaca al-Quran menghadap kiblat ketika kita membacanya di luar solat.
Apabila kita sudah menghadap kiblat, kita hendaklah duduk dengan khusyuk dan menghayati isi al-Quran yang dibaca dan beradab di hadapan al-Quran.
- Membaca Dengan Tertib
Adab untuk bertadarus al-Quran dalam islam adalah dengan membaca dengan tertib dan tidak terburu-buru.
- Meninggikan Kedudukan Al-Quran
Al-Quran adalah mukjizat yang dikurniakan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW.
Isinya terkandung ayat Allah kepada kita dan membacanya seakan berbual dengan Tuhan.
Makanya, kita harus beradab dan meletakkan al-Quran di tempat yang tinggi dari buku-buku yang biasa.
Ketinggian dan kemuliaannya adalah bukan sekadar sebuah kitab biasa.
- Memahami Makna Al-Quran
Kita dituntut untuk menghayati isi al-Quran serta mentadabburnya.
Tadabbur ialah memahami lafaz-lafaz serta berfikir tentang ayat peringatan dan nasihat sehingga terkesan dihati.
Oleh itu, gunakan masa yang ada untuk bertadabbur ayat Allah dengan mencari guru dan menyertai kelas dan halaqah untuk menghayati ayat al-Quran.
- Baca Yang Mudah Terlebih Dahulu
Membaca dari bahagian yang paling mudah bagi diri sendiri.
Hal ini kerana adab tadarus al-Quran dalam Islam adalah memudahkan dan hal ini akan menyenangkan si pembaca.
Akibat Melupakan Al-Quran
Sejak beratus tahun yang lalu, Allah Ta’ala sudah menyatakan yang pada masa akan datang umat Islam akan menjauhkan diri dari al-Quran.
Menjauhkan ini bermaksud tidak membaca, tidak mentadabburinya serta tidak mengamalkannya.
Sesungguhnya, menjauh dari al-Quran adalah berbahaya untuk umat Islam. Ini adalah antara bahaya jika kita melupakan kitab Allah:
- Kehidupan Yang Sempit
Walaupun zahirnya kehidupannya nampak mewah, gembira namun hakikatnya seseorang itu akan berasa hatinya tidak tenang, sentiasa rasa gelisah serta dadanya penuh dengan kebimbangan.
- Buta Mata Hati
Golongan ini akan terhijab daripada mata hatinya daripada menerima hidayah Allah. Mungkin secara zahirnya matanya dapat melihat dengan baik namun hatinya gagal dalam melihat kebenaran.
Sampaikan seringkali sukar menilai antara sebuah kebenaran atau kesalahan dalam hidupnya.
- Menjadi Munafik
Mereka yang digelar sebagai munafiq ini bukan sekadar tidak menjadikan Allah sebagai panduan berhukum, malah mereka cuba menghalang manusia lain untuk turut sama dengan mereka.
- Lupa Diri
Kepada mereka yang melupakan ayat-ayat Allah nescaya baginya dilupakan nasib keadaan dirinya di akhirat kelak.
Mereka adalah dalam golongan orang yang rugi kerana melupakan Allah dan akhirnya di akhirat kelak balasan akan menimpa dirinya kembali.
- Kezaliman
Melupakan al-Quran bererti meninggalkan perkara yang bermanfaat dan menggantikannya dengan kesesatan.
Padahal itu merupakan tindakan seorang yang zalim terhadap dirinya dan orang lain dan menghinakan diri di mata Allah dan manusia.
Kesimpulannya, bacalah al-Quran selagi diberi kesempatan dan waktu kerana masa tidak akan menunggu kita.
Jangan sampai orang lain yang membacakan al-Quran untuk jasad kita yang tidak boleh bergerak.
Anda perlukan khidmat Konsultasi ?
Jom bersama AZDAN supaya kami dapat bantu selesaikan sebarang masalah anda ! Jangan bimbang sepanjang KONSULTASI , ustaz ustazah akan bersama anda untuk mantapkan lagi bacaan Al-Quran.
Untuk makluman ! KONSULTASI ini bernilai RM50 , tapi untuk anda kami nak bagi secara PERCUMA je .
Ye PERCUMA sahaja. Berbaloikan ? Tunggu apa lagi jom ambil peluang ni !
Jom dapatkan Konsultasi bersama Azdan dengan Tekan link dibawah Sekarang