Tadarus Al-Quran, lazimnya, sering dikaitkan dengan aktiviti kerohanian popular semasa bulan Ramadan.
Tapi, aktiviti ini tak semestinya perlu dianjurkan ketika bulan Ramadhan sahaja.
Setiap hari, umat Islam digalakkan untuk membaca Al-Quran kerana bukan sahaja ganjaran pahala yang menanti, tetapi juga banyak lagi manfaat yang anda dapat sebagai pembacanya.
Selain itu, ramai dikalangan anda yang mesti tak tahu maksud tadarus Al-Quran, kan? Jadi, jom kami kongsikan sedikit ilmu baharu mengenai perkara ini terlebih dahulu.
Kalimah tadarus berasal dari درس (darus) yang membawa maksud belajar, meneliti, mengkaji dan memahami.
Apabila ditambah ‘ta’ di hadapan, ia disebut sebagai tadarus dan dieja تدارس (tadarus) yang membawa maksud saling belajar, saling meneliti, saling memahami dan saling mengkaji.
Digabungkan pula menjadi tadarus Al-Quran, ia menjadi saling mempelajari, memahami dan meneliti ilmu Al-Quran.
Di sini, boleh disimpulkan Al-Quran bukanlah sekadar dibaca tetapi perlu difahami dan diteliti untuk mendalami Al-Quran sepenuhnya.
Mengikuti tadarus Al-Quran atau membacanya setiap hari akan mendatangkan pahala dan kebaikan.
Hadis riwayat Al-Tirmizi pernah menegaskan;
“Barangsiapa yang membaca satu huruf saja dari kitabullah, maka seseorang akan mendapatkan kebaikan satu kali. Tetapi, setiap kebaikan akan dibalas dengan sepuluh kalinya.”
Seorang individu yang sentiasa mengikuti aktiviti tadarus Al-Quran mendapat kurnia dan perlindungan malaikat.
Jika membacanya sudah memberikan ketenangan kepada jiwa, apatah lagi mendapat perlindungan dari kejahatan yang nyata atau tidak nyata.
Manfaat seperti mendapat syafaat semasa hari kiamat juga salah satu daripada rahmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Hadis Riwayat Muslim:
“Bacalah Al-Quran kerana sesungguhnya pada hari kiamat nanti akan datang memberikan syafaat yang baik kepada pembacanya.”
Syafaat yang dikatakan adalah kebaikan dan kemuliaan yang tidak pernah dibayangkan oleh manusia, jadi renung-renungkanlah.
Mereka yang sentiasa mengikuti aktiviti tadarus Al-Quran boleh memberikan hati ketenteraman luar biasa.
Kian hari anda meluangkan masa membaca Al-Quran, kian hari rasa cinta kepada Allah SWT akan meningkat seperti juga kepada semua nabi dan rasul serta malaikatNya.
Keperluan membaca Al-Quran setiap hari juga pernah disebut dalam surah Ar-Ra’d.
“Orang-orang yang beriman akan memiliki hati yang tenang dan tenteram jika selalu ingat dengan Allah SWT, maka ingatlah, kerana dengan mengingati Allah SWT, hatimu menjadi tenteram.”
Bila hati tenang dan berada dalam keadaan tenteram, tingkah laku akan menjadi lebih baik.
Begitulah manfaat yang dinikmati oleh mereka yang suka bertadarus Al-Quran.
“Sebaik-baik manusia adalah yang membaca dan mempelajari Al-Quran serta mengajarkannya kepada orang lain.” (HR Bukhari)
وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Dan barangsiapa yang dipelihara dari ketamakkan dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Surah Al-Hasyr No.59, Ayat 9)
Potongan ayat Al-Quran di atas menyatakan tentang orang yang tidak mementingkan diri walau diri mereka sendiri lebih memerlukan daripada orang lain.
Sikap tamak datang dari keterikatan kepada kebendaan dan merupakan tanda kurangnya iman dan tawakal kepada Allah SWT.
Perbuatan tadarus Al-Quran merupakan salah satu aktiviti mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Jadi, diingatkan bahawa kurniaan ketenteraman jiwa bukanlah rahmat yang diberikan oleh-Nya dengan mudah.
Ia merupakan kesan dari hamba-Nya yang sentiasa cenderung kepada Penciptanya dan tidak memandang kebendaan lebih tinggi dari Allah SWT.
Mereka yang selalu mengikuti tadarus Al-Quran tidak cenderung ke arah kesesatan.
Banyak ayat Al-Quran yang menyatakan beberapa peneguhan kenyataan ini.
“Bukankah Allah cukup untuk hamba-Nya [iaitu, Nabi Muhammad (ﷺ)]? Dan (padahal) mereka mengancam kamu dengan sembahan-sembahan selain Dia. Dan barangsiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada baginya seorang pun yang dapat memberi petunjuk.” (Surah Az-Zumar, No.39 Ayat 36)
“Wahai orang-orang yang beriman, atas dirimu sendirilah tanggung jawabmu. Orang-orang yang sesat itu tidak akan membahayakan kamu apabila kamu telah mendapat petunjuk. Kepada Allah jualah kembali kamu semuanya; kemudian Dia akan memberitahu kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah Al-Ma’idah, No.5 Ayat 105)
Sesungguhnya Al-Quran lah yang akan menjadi pembela kita di padang mahsyar dan menjadi syafaat untuk masuk ke syurga kelak.
Masyarakat haruslah memperbanyakkan usaha untuk membaca Al-Quran. Salah satunya dengan membudayakan tadarus Al-Quran dalam kehidupan harian.
Dengan Al-Quran, hati akan lebih tenang dan kepercayaan kepada Allah SWT akan lebih kuat.
Anda pernah semak bacaan Quran di tahap mana? Masih was-was dan tak pasti adakah bacaan Quran selama ni betul atau silap? Macam mana pula ibadah kita jika tak baiki sebutan & bacaan Quran?
Ketahui tahap bacaan Quran anda. Dan perbaiki bacaan semasa sesi Konsultasi secara private, bernilai RM100 secara PERCUMA!
Mula belajar mengaji sekarang–dapatkan secara Percuma!