Adab membaca Al-Quran perlu difahami dan diamalkan oleh semua umat Islam. 

Hal ini kerana Al-Quran adalah kitab suci yang mengandungi firman Allah SWT berkaitan panduan hidup kepada hamba-Nya. Keistimewaan Al-Quran perlu dihargai. 

Oleh sebab itu, Al-Quran perlu diperlakukan dengan baik tanpa merendah-rendahkan nilai Al-Quran sebagai kitab suci utama umat Islam.

Dalam artikel ini, kami akan kongsikan beberapa adab membaca Al-Quran untuk diamalkan. Teruskan membaca.

 

8 Adab Membaca Al-Quran

 

1. Berniat kerana Allah

al quran

Secara lazimnya, dalam setiap perbuatan yang kita hendak lakukan, hendaklah kerana Allah SWT.

Ini termasuk dalam membaca Al-Quran. Hadis 40 Imam Nawawi ada menyebut mengenai hal ini:

“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Sesungguhnya setiap amalan perbuatan adalah dinilai mengikut niat. Setiap orang dinilai dengan niatnya. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasulnya maka hijrahnya dinilai mengikut niatnya menuju kepada Allah dan Rasulnya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia atau wanita untuk dikahwininya maka hijrahnya dinilai mengikut tujuan hijrah itu.” 

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

2. Bersih

Kebersihan adalah suatu perkara yang Allah SWT suka. 

Al-Quran adalah kitab suci, semestinya kita perlu berada dalam keadaan bersih dari segala kekotoran dan najis.

Selain mandi, salah satu cara untuk bersuci dan dalam keadaan bersih adalah dengan mengambil wudhu’ sebelum membaca.

Menurut hadis riwayat Tarmizi:

إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ يُحِبُّ الطَّيِّبَ ، نَظِيفٌ يُحِبُّ النَّظَافَةَ ، كَرِيمٌ يُحِبُّ الكَرَمَ ، جَوَادٌ يُحِبُّ الجُودَ ، فَنَظِّفُوا ، أُرَاهُ قَالَ ، أَفْنِيَتَكُمْ وَلاَ تَشَبَّهُوا بِاليَهُودِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu bersih, Dia menyukai kebersihan. Allah itu mulia, Dia menyukai kemuliaan. Allah itu dermawan ia menyukai kedermawanan maka bersihkanlah olehmu tempat-tempatmu dan janganlah kamu menyerupai kaum Yahudi.

 

3. Menghadap kiblat

Kita disunatkan untuk menghadap kiblat ketika membaca Al-Quran.

Hadis Nabi Muhammad SAW menyebut tentang sunat membaca Al-Quran menghadap kilbat ketika membaca di luar solat.

خَيْرُ الْمَجَالِسِ مَا اسْتُقْبِلَ بِهِ الْقِبْلَةَ

Maksudnya: Sebaik-baik majlis adalah yang menghadap kiblat. (Tahzib al-Athar (1/235))

Selain menghadap kiblat, kita hendaklah berada dalam keadaan khusyuk dan menghayati Al-Quran yang dibaca.

 

4. Meletakkan Al-Quran di tempat tinggi

Al-Quran adalah mukjizat yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW.

Isinya adalah bicara Allah SWT kepada hamba-Nya. Jadi, tidak manislah untuk meletak Al-Quran di tempat seperti di atas lantai.

Ini seolah-olah tiada beza antara kitab Allah dan juga buku lain. 

Oleh itu, kedudukannya hendaklah dititikberatkan dengan meletakkannya di tempat lebih tinggi dari tempat duduk.

 

5. Membaca ta’awudz

Ta’awudz membawa makna meminta pertolongan dan keselamatan daripada Allah SWT dengan melafazkan:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya: Aku memohon perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam. (Riwayat al-Bukhari (1319))

Walaupun membaca ta’awudz ialah sunat, tidak salah untuk membacanya jika ingin mendapat perlindungan daripada syaitan yang suka mengalih tumpuan daripada ibadah.

 

6. Membaca dengan tajwid betul

Tajwid bermaksud memberikan atau meletakkan setiap huruf apa yang patut baginya (haknya) dari segi sifat-sifat huruf.

Manakala tartil ialah meraikan tempat keluarnya huruf dan menjaga tempat berhenti.

Pembacaan tajwid yang betul akan menyempurnakan lagi bacaan kita dan tidaklah maksud isi Al-Quran tidak di salah baca.

 

7. Menghayati maksud Al-Quran 

Kita dituntut untuk mentadabburi Al-Quran. Mentadabburi Al-Quran, dalam erti kata lain adalah menghayati semua isi Al-Quran.

Allah ada berfirman mengenai hal ini.

كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: Al-Quran ini adalah sebuah kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayat Allah, dan supaya mendapat pengajaran untuk orang-orang yang mempunyai fikiran. 

(Surah Saad ayat 29)

 

8. Membaca doa selepas habis membaca Al-Quran

Doa adalah cara untuk kita memohon kepada Allah SWT apa-apa yang kita hajati.

Lebih afdal untuk membaca doa selepas membaca Al-Quran kerana doa merupakan ubat yang paling bermanfaat dan musuh kepada pelbagai musibah. 

 

Penutup

Panduan adab membaca Al-Quran ini diharapkan membantu anda ke arah hubungan lebih dekat dengan Allah SWT melalui penjagaan adab ketika membaca kitab suci.

Mengingati Al-Quran bukanlah kitab biasa; ia adalah firman langsung dari Allah SWT, sumber panduan, ketenangan, dan pencerahan. 

Memperlakukannya dengan hormat bukan lah disebabkan tradisi, ia merupakan rasa kasih dan taat kepada yang Maha Esa.

Anda pernah semak bacaan Quran di tahap mana? Masih was-was dan tak pasti adakah bacaan Quran selama ni betul atau silap? Macam mana pula ibadah kita jika tak baiki sebutan & bacaan Quran?

Ketahui tahap bacaan Quran anda. Dan perbaiki bacaan semasa sesi Konsultasi secara private, bernilai RM100 secara PERCUMA!