Tanpa kita sedar, bulan Ramadan semakin hampir ke penghujungnya. Masa berlalu begitu pantas meninggalkan kita. Mungkin sebahagian kita tidak sabar menanti kedatangan bulan Syawal selepas sebulan berpuasa. Namun, bagi sebahagian yang lain, mereka akan merasakan suatu kesedihan apabila semakin hampir berpisah dengan bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan itu.
Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Masyarakat Masjid Islah, Ustaz Khairul Anwar Mohamed Aznan, berkata “Janganlah kita lepaskan peluang yang ada di hujung Ramadan ini kerana terdapatnya satu malam yang sangat hebat. Satu malam yang begitu istimewa iaitu Lailatulqadar.”
Amalan Rasulullah pada 10 malam terakhir Ramadan
- Memanjangkan Solat Malam
Aisyah RA pernah berkata :
“Rasulullah SAW biasa ketika memasuki 10 Ramadhan terakhir, beliau memperketatkan ikatan pinggang (bersungguh-sungguh dalam ibadah), menghidupkan malam-malam tersebut dengan ibadah, dan membangunkan isteri-isterinya untuk beribadah.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)
- Sedekah
Sedekah Ramadan di 10 hari terakhir bukan sekadar sedekah wajib berupa zakat fitrah dan zakat mal, tetapi juga digalakkan memperbanyak sedekah sunnah. Amalan ini sebagai bukti syukur atas nikmat dipertemukan Ramadan, serta sebagai pelengkap ibadah puasa dan ibadah lain.
- Tilawah Al-Quran
Membaca setiap huruf Al-Quran mengandungi banyak pahala kebaikan. Jika membaca Al-Quran secara berterusan, maka akan banyak pula pahala yang akan diperolehi oleh para pengamalnya.
- Iktikaf
Beriktikaf bertujuan untuk mendapat malam al-Qadar dan supaya ibadah mampu ditunaikan dalam keadaan khusyuk dan tenang. Abdullah bin Umar RA pernah berkata :
“Rasulullah SAW beri’tikaf pada sepuluh hari terakhir bulan ramadhan.” (HR. Muttafaq ‘alaih)
- Bersungguh-Sungguh dalam Meraih Lailatul Qadar
Malam Lailatul Qadar terdapat di antara 10 hari terakhir bulan Ramadan. Jadi, kita mestilah bersungguh-sungguh dalam meraih malam kemuliaan tersebut.
Disebutkan dalam riwayat hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda :
تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
Maksudnya : “Carilah lailatul qadar pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan.” (HR Al-Bukhari dan Muslim).
- Perbanyakkan berdoa
Memperbanyakkan doa sebagaimana doa yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada isteri baginda.
Aisyah berkata, “Wahai Rasulullah, apa pendapatmu jika aku mengetahui bila Lailatulqadar (Malam al-Qadar), maka apa yang perlu aku ucapkan?” Baginda menjawab, “Ucapkanlah:
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, mencintai kemaafan, maka maafkanlah aku.” (HR Tirmidzi)
- Membersihkan Badan
Membersihkan badan sangat digalakkan sebelum melaksanakan ibadah. Rasulullah SAW juga mandi di antara waktu Maghrib dan Isyak kerana badan yang segar dan wangi, sudah tentu membuat seseorang lebih bersemangat dan khusyuk semasa mengerjakan ibadah.
- Mengajak Orang Lain Qiyamul Lail
Bukan sekadar menfokuskan ibadah sahaja, umat islam juga digalakkan mengajak orang lain untuk bersama-sama menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan. Terutamanya bagi yang sudah berkeluarga.
- Memperbanyakkan zikir
Perbanyakkan bacaan tasbih (subhanallah), tahlil (laa ilaha illallah), tahmid (alhamdulillah) dan zikir lainnya seperti yang terkandung dalam koleksi doa dan zikir Hisnul Muslim oleh Sa’id bin Ali Wahf al-Qathani, juga zikir-zikir sahih yang ada dituntunkan oleh Rasulullah SAW.
- Memperbanyakkan istighfar
Mohon keampunan sebanyak-banyaknya kepada Allah agar kita termasuk dalam kalangan hamba yang mendapatkan keampunan. Orang yang paling rugi pada bulan Ramadan ialah orang yang tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT. Justeru itu, alangkah eloknya jika kita tidak lupa dalam terus beristighfar kepada Allah SWT.
Tidak dinafikan lagi, sesungguhnya nikmat dan peluang yang Allah SWT berikan untuk kita hidup dan berada di bulan Ramadan merupakan nikmat yang sangat besar nilainya. Bayangkanlah ada di antara kita yang tidak sempat menyambut bulan Ramadan dan ada juga yang pergi menghadap-Nya ketika berada di bulan Ramadan. Jika tahun ini kita berpeluang merasai nikmat Ramadan, tahun seterusnya belum tentu lagi ada buat kita. Semoga kita lebih menghargainya.
Anda ada masalah semasa membaca Al-Quran ?
Anda perlukan khidmat Konsultasi ?
Jom bersama AZDAN supaya kami dapat bantu selesaikan masalah anda !
Jangan risau kami bawakan kepada anda ustaz ustazah yang berpengalaman dalam bidang Al-Quran yang akan memantapkan lagi bacaan anda.
Jom dapatkan Konsultasi bersama Azdan dengan tekan link di bawah sekarang !