Ia merupakan surah yang ke-114 dalam Al-Quran, termasuk dalam kategori surah Makkiyah dan mengandungi 6 ayat. Ia juga merupakan salah satu daripada 2 surah Mu’awwizatain iaitu terdapat lafaz Al-Isti’azah : “Aku berlindung dengan Allah daripada Syaitan yang telah direjam” di dalam Al-Quran.
Nama An-Nas ini diambil daripada perkataan “An-Nas” yang yang disebut secara berulang kali pada setiap akhir ayat surah ini yang membawa maksud “manusia.”
Imam Al-Baihaqi meriwayatkan dalam kitabnya Dalail An-Nubuwwah dari Al-Kalbi dari Abu Saleh dari Ibnu Abbas yang berkata, “Suatu ketika Rasulullah menderita sakit parah. Dua malaikat lantas mendatangi beliau. Satu duduk di arah kepala sementara yang satu lagi di arah kaki. Malaikat yang berada di sebelah kaki lalu bertanya kepada malaikat yang di sebelah kepala, ‘Apa yang sedang menimpanya?’ Malaikat yang di sebelah kepala menjawab, ‘Disihir orang’. Malaikat yang di sebelah kaki bertanya lagi, ‘Siapa yang menyihir?’ Dijawab, ‘Labid Ibnul A’sham, seorang Yahudi.’ Malaikat itu bertanya lagi, ‘Dimana diletakkan (sihirnya itu)?’ Dijawab, ‘Di sebuah sumur milik si Fulan, di bawah batu. Oleh sebab itu, hendaklah Muhammad pergi ke sumur itu kemudian keringkan airnya lalu angkat batunya. Setelah itu ambillah kotak yang berada dibawahnya kemudian bakarlah.’ Pada pagi harinya, Rasulullah mengutus Ammar bin Yasir serta beberapa sahabat untuk pergi ke sumur tersebut. Ketika sampai, mereka melihat airnya berubah warna menjadi merah kecoklatan seperti air inai. Mereka lantas menimba airnya, mengangkat batunya, mengeluarkan sebuah kotak kecil yang berada didalamnya lalu membakarnya. Ternyata di dalamnya terdapat seutas tali yang memiliki sebelas simpul. Selanjutnya Allah menurunkan surah ini. Setiap kali Rasulullah membaca satu ayat maka terurailah satu simpul.”
قُلْ اَعُوْذُ بِرَبِّ النَّاسِ(1) مَلِكِ النَّاسِ(2) اِلٰهِ النَّاسِ(3) مِنْ شَرِّ الْوَسْوَاسِ ﳔ الْخَنَّاسِ(4) الَّذِیْ یُوَسْوِسُ فِیْ صُدُوْرِ النَّاسِ(5) مِنَ الْجِنَّةِ وَ النَّاسِ(6)
(1) Katakanlah (ya Muhammad): “Aku berlindung dengan (Allah) Pemelihara Manusia.” (2) “Raja (yang menguasai) sekalian manusia.” (3) “Tuhan sekalian manusia.” (4) “Daripada kejahatan bisikan syaitan yang bersembunyi.” (5) “Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada (hati) manusia.” (6) “Daripada bangsa jin dan manusia.”
Surah ini adalah bagi menganjurkan manusia memohon perlindungan kepada Allah SWT dari godaan syaitan baik yang berasal dari golongan manusia ataupun jin.
Daripada Aisyah r.ha. katanya : “Nabi SAW apabila ke tempat hamparan tidur setiap malam baginda menadah kedua tangannya kemudian menghembus kedua tapak tangan lalu membaca surah Ikhlas, surah Al-Falaq dan surah An-Nas kemudian baginda menyapu ke bahagian badan yang dapat dicapai oleh kedua tangan, baginda memulakannya dari kepala, muka, dan bahagian badan yang dapat dicapai. Baginda melakukan seperti demikian sebanyak tiga kali.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Dari Abu Sa’id RA: Bahawa Rasulullah SAW sentiasa meminta perlindungan daripada kejahatan Jin dan Manusia. Namun, setelah Mu’awwizatain (An-Naas dan Al-Falaq) diturunkan, Baginda telah menggunakan keduanya sebagai perlindungan dan meninggalkan selainnya. (HR Tirmidzi dan An-Nasa’i)
Jelaslah bahawa surah ini membawa maksud yang begitu mendalam tentang perlunya manusia kepada Allah sebagai pelindung mutlak daripada kejahatan manusia dan syaitan yang durjana.
Anda boleh membaca Al-Quran tetapi masih belum dapat menguasai hukum tajwid dengan baik ?
Nak kenal makhraj dan sifat huruf dengan lebih dekat ?
Jangan risau, jangan bimbang – Azdan menawarkan kelas mengaji online untuk anda !
Jom daftar sesi konsultasi secara personal tanpa sebarang caj hari ini.