Al-Quran ialah kalamullah yang mengandungi mukjizat, diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril a.s., ditulis dalam mashaf, dipindahkan kepada kita secara mutawatir dan membacanya adalah suatu ibadat.
Sabda Rasulullah SAW :
أَفْضَلُ عِبَادَةِ أُمَّتِي قِرَاءَةُ الْقُرْآنِ
Maksudnya :” Sebaik-baik ibadat umatku adalah membaca al-Quran.”
Riwayat al-Baihaqi (1865) di dalam Syu’ab al-Iman
Surah Al Mulk adalah merupakan surah yang ke 67 di dalam Al-Quran. Surah ini memiliki 30 ayat dan tergolong dalam surah Makiyyah. Surah ini dinamakan ”Al-Mulk” (Kuasa Pemerintahan) kerana pada ayat pertama surah ini terdapat perkataan “Mulk”.
Rahsia 1 : Penyelamat dari azab kubur
Rasulullah SAW ada menceritakan tentang keistimewaan orang yang membaca Surah Al-Mulk pada setiap malam.
Dalam sebuah hadis ada diriwayatkan tentang :
Daripada Ibn Abbas RA, beliau berkata, beberapa orang sahabat Nabi menggali tanah tanpa menyangka itu adalah kubur. Lalu didapati di dalamnya ada seorang lelaki yang membaca Surah Al-Mulk hingga tamat.
Lantas beliau menemui Nabi SAW lalu berkata:
يَا رَسُولَ اللهِ إِنِّي ضَرَبْتُ خِبَائِي عَلَى قَبْرٍ وَأَنَا لاَ أَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الْمُلْكِ حَتَّى خَتَمَهَا. فَقَالَ رَسُولُ الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : هِيَ الْمَانِعَةُ ، هِيَ الْمُنْجِيَةُ ، تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ.
Maksudnya: Ya Rasulullah, sesungguhnya aku menggali tanah tanpa aku menyangka itu adalah kubur, dan aku dapati seorang lelaki membaca surah al-Mulk sehingga khatam. Maka jawab Baginda SAW, surah tersebut adalah pencegah, penolong yang menyelamatkan tuannya daripada azab kubur. (Hadis riwayat al-Tirmidzi).
Rahsia 2 : Mengampunkan Dosa Pembaca
Selain dari memberi pahala apabila kita membaca surah ini, Allah S.W.T juga akan mengampunkan segala dosa mereka yang sentiasa mengamalkan membaca sehingga akhir surah. Orang yang pada asalnya tidak dapat masuk ke syuga disebabkan oleh dosa yang dilakukannya akan dibela dan dipertahankan oleh surah al-Mulk yang sentiasa dibaca sehinggalah dia dapat masuk ke syurga.
سُورَةٌ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هِيَ إِلَّا ثَلَاثُونَ آيَةً، خَاصَمَتْ عَنْ صَاحِبِهَا حَتَّى أَدْخَلَتْهُ الْجَنَّةَ، وَهِيَ سُورَةُ تَبَارَكَ
“Sebahagian daripada al-Qur’an ada satu surah yang jumlah ayatnya tiga puluh ayat semuanya, surah ini dapat memberikan pertolongan kepada orang yang membacanya sehingga diampunkan segala dosa-dosanya, surah itu ialah “Al-Mulk”. (Hadis Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)
إنَّ سورَةً مِن القُرآنِ، ثَلاثون آيَةً، شفَعَت لِرَجُلٍ حتى غُفِرَ له، وهي: {تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ المُلْكُ}.
“Sesungguhnya ada satu surah daripada al-Quran yang mempunyai 30 ayat yang akan memberi pertolongan kepada seseorang itu sehinggalah dia diampunkan, iaitu: Surah al-Mulk.”
Rahsia 3 : Mengikuti Sunnah Nabi Muhammad ﷺ
Kita dituntut untuk sentiasa mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah SAW. Sekiranya kita membaca surah ini sebelum tidur, kita sudah mengikuti sunnah Baginda kerana ini adalah amalan yang menjadi kebiasaan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam sebelum tidur. Di samping itu, ada juga surah-surah lain yang baginda baca sebelum tidur.
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَنَامُ حَتَّى يَقْرَأَ الم تَنْزِيلُ السَّجْدَةَ، وَتَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ
“Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tidak tidur sehinggalah setelah baginda membaca Alif Lam Mim Tanzil (Surah al-Sajadah) dan Tabarakallazi bi yadihi al-Mulk (Surah al-Mulk).”
Riwayat al-Tirmizi (no. 2892) daripada hadis Jabir.
Kesimpulannya, ayuh kita jadikan Al-Quran sebagai teman sejati kerana membaca al-Quran adalah satu keutamaan kerana golongan yang mencintai al-Quran dijanjikan pelbagai kelebihan dan ganjaran yang tiada tandingan.
Anda boleh membaca Al-Quran tetapi masih belum dapat menguasai hukum tajwid dengan baik ?
Nak kenal makhraj dan sifat huruf dengan lebih dekat ?
Jangan risau, jangan bimbang – Azdan menawarkan kelas mengaji online untuk anda !
Jom daftar sesi konsultasi secara personal tanpa sebarang caj hari ini.
Mula belajar mengaji sekarang–dapatkan secara Percuma!