Pengertian Al-Quran
Al-Quran ialah kalamullah yang mengandungi mukjizat, diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril a.s., ditulis dalam mushaf, dipindahkan kepada kita secara mutawatir dan menjadi ibadat dengan membacanya.
Susunan Al-Quran terdiri daripada cantuman 28 huruf Hijaiyah yang mana keseluruhan Al-Quran mengandungi 323671 huruf, 77437 kalimah, 6236 ayat, 114 surah, 30 juzuk, 60 hizib dan 240 maqra’.
Al-Quran merupakan mukjizat teragung dan antara mukjizat Nabi Muhammad SAW yang kekal hingga hari Kiamat.
Sabda Nabi Muhammad SAW:
وفضل كلام الله على سائر الكلام كفضل الله على سائر خلقه
Yang bermaksud: Dan kelebihan kalamullah ke atas seluruh kalam (perkataan) seperti kelebihan Allah ke atas sekalian kejadianNya.
Apa Itu Tadabbur Al-Quran ?
Maksud tadabbur adalah kita menghayati dan merenung sehingga meresap makna ayat Al-Quran itu ke dalam hati.
Tadabbur Al-Quran adalah arahan daripada Allah SWT. Menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Maka apakah mereka tidak mentadabburkan Al-Quran? Atau hati mereka terkunci.” (Surah Muhammad, ayat 24)
Dalam ayat yang lain, Allah berfirman bermaksud: “Patutkah mereka (bersikap demikian) tidak mahu memikirkan (mentadabbur) isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu datangnya bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” (Surah an-Nisa, ayat 82).
Ayat ini menjelaskan bahawa Al-Quran diturunkan bukan hanya untuk dibaca malah dituntut supaya difahami, dihayati dan mengamalkan isi kandungannya dalam kehidupan ini.
Matlamat Al-Quran diturunkan bukan sekadar untuk dibaca bahkan Allah menyeru seluruh hambanya untuk menghayati inti pati Al-Quran sebagaimana firman-Nya:
كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya: (Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.
Hikmah Tadabbur Al-Quran
Bagaimana cara mentadabbur Al-Quran?
Kebanyakan manusia belajar membaca dengan cepat dan laju. Cara begini memang susah untuk tadabbur. Kita hendaklah membiasakan diri untuk tadabbur. Tadabbur hanya boleh dilakukan dengan membaca Al-Quran secara tartil dan tidak laju. Letakkan di sisi kertas dan pena untuk menulis perkataan- perkataan yang tidak difahami atau tidak jelas maksudnya. Selain itu, rujuklah kitab-kitab tafsir yang muktabar supaya terlerai apa yang dimusykilkan. Seterusnya, kita akan membaca Al-Quran tanpa ada lagi kemusykilan, dan terus tadabbur. Setiap kali membaca Al-Quran, akan terbongkar ilmu-ilmu yang tidak diketahui sebelumnya. Sesungguhnya hidayah itu, semuanya terletak pada tadabbur Al-Quran.
Jelaslah bahawa membaca Al-Quran dengan penghayatan serta memahami isi kandungannya jauh lebih baik berbanding membaca ayat Al-Quran tanpa memahami makna isi kandungannya. Oleh itu, umat Islam digesa untuk memahami makna serta menghayati inti pati kalamullah untuk diambil iktibar dan beramal terhadap segala perintah serta laranganNya. Tadabbur Al-Quran sangat dituntut agar memberi kesan kepada jiwa manusia sekaligus menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan seharian.
Anda boleh membaca Al-Quran tetapi masih belum dapat menguasai hukum tajwid dengan baik ?
Nak kenal makhraj dan sifat huruf dengan lebih dekat ?
Jangan risau, jangan bimbang – Azdan menawarkan kelas mengaji online untuk anda !
Jom daftar sesi konsultasi secara personal tanpa sebarang caj hari ini.
Mula belajar mengaji sekarang–dapatkan secara Percuma!