5 ADAB YANG SELALU DIABAIKAN KETIKA MEMBACA AL-QURAN

Al-Quran merupakan sebuah kitab suci dan mulia yang mesti dihormati oleh setiap orang tanpa mengira bangsa dan agama. Terkandung di dalamnya segala petunjuk untuk arah tuju kehidupan Muslim dan juga penawar untuk penyakit jiwa dan hati.

Setiap kali tibanya Ramadhan, hampir semua umat Islam akan meningkatkan bacaan Quran sebab nak capai target khatam dalam bulan Ramadhan. Cuba muhasabah seketika, dalam pada kita berkejaran nak habiskan 30 juzuk dalam tempoh sebulan itu, bagaimana kualiti bacaan Quran kita? 

Selain kualiti bacaan, semak juga bagaimana adab kita ketika membaca al-Quran. Jom sama-sama kita perbaiki tata tertib ketika membaca kitab suci yang agung ini.

1. Berwuduk atau suci daripada hadas kecil.

Sebelum sentuh al-Quran, adalah disunatkan diri kita berada dalam keadaan suci daripada hadas kecil iaitu berwuduk terlebih dahulu. 

Ini bertepatan dengan Firman Allah SWT:

لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ

Maksudnya: “Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci” (Surah al-Waqiah, 79)

Lagipun, kita nak pegang satu kitab yang mengandungi kalam Allah yang Maha Agung. Jadi, malu lah kalau nak baca surat cinta daripada Allah dalam keadaan tidak berwuduk.

2. Menutup aurat

Salah satu perkara yang kadangkala dipandang enteng semasa membaca al-Quran adalah berkaitan aurat. Sedangkan kita disunatkan untuk menutup aurat ketika membaca kitab Allah ini.

Aurat lelaki adalah dari pusat hingga ke lutut, manakala aurat perempuan pula adalah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan. Jadi, sebaiknya pastikan pakaian kita menepati syariat iaitu sempurna tutup aurat ketika membaca al-Quran. 

Di samping tutup aurat sempurna, pastikan juga pakaian kita itu bersih dari sebarang kotoran. Sedangkan nak jumpa orang-orang ternama pun, kita akan berpakaian kemas dan bersih. Inikan pula nak jumpa Allah, nak baca kalam Allah yang Maha Mulia.

3. Duduk di tempat yang bersih

Antara adab yang paling penting untuk dititikberatkan adalah dengan duduk di tempat yang bersih. Daripada Abu Malik al-haris ibn ‘Asim al-Asy’ari r.a beliau berkata: Rasulullah Sallahhu’alaihiwasallam telah bersabda:  Kebersihan itu sebahagian daripada iman. 

Umat Islam digalakkan untuk menjaga kebersihan zahir dan batin. Kebersihan ini juga berkait rapat dengan adab ketika membaca Al-Quran. Al-Quran merupakan kitab suci yang perlu kita pelihara kemuliaanya. Jadi, duduk ditempat yang bersih adalah adab yang sangat dituntut ketika membacanya. Elakkan untuk membaca Al-Quran ditempat yang hina seperti dalam tandas, tempat buang sampah dan sebagainya. 

4. Menghadap Kiblat 

Arah kiblat ialah semulia-mulia arah. Justeru disunatkan memelihara ke arahnya ketika duduk. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW:

إِنَّ سَيِّدَ الْمَجَالِسِ قُبَالَةَ الْقِبْلَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya pemimpin majlis adalah yang menghadap kiblat.” (Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (2375)

Justeru, walaupun perkara ini sunat, digalakkan untuk dilakukan sebagai mengikut arahan Nabi SAW agar kita menghadap kiblat kerana ia semulia-mulia arah.

5. Membaca dengan jelas dan tidak terburu-buru

Indahnya Al-Quran apabila si pembacanya dapat membaca Al-Quran dengan sangat jelas dan tidak terburu-buru. Membaca Al-Quran dengan jelas dapat memastikan kita mengenal setiap huruf makhraj dengan betul dan teliti. Membaca Al-Quran dengan terburu-buru hanya menghilangkan kemanisan dalam mentelaah isi kandungan Al-Quran itu sendiri. 

Lebih bahagia apabila kita dapat mentadabbur Al-Quran dan memahami isi kandungan Al-Quran dengan baik. Setidaknya kita dapat selami maksud ataupun kisah disebalik penceritaan surah-surah tersebut secara terperinci sekaligus kita dapat mempraktiskan kefahaman tersebut dalam kehidupan seharian kita. 

Akhirul kalam, Al-Quran boleh dibaca pada bila-bila masa sahaja tanpa mengira masa dan tempat kecuali pada beberapa waktu dan tempat yang terlarang seperti yang dibincangkan diatas. Apa-apapun, sebagai umat Islam kita hendaklah menjaga adab ketika membaca Al-Quran kerana Al-Quran merupakan surat cinta dari Allah dan perlu dipelihara dengan sebaik-baik kemuliaan. 

(Baca sini untuk ketahui tempoh dan tempat yang tidak sesuai untuk mengaji Al-Quran)

Nak tingkatkan kualiti bacaan Al-Quran? Jom sertai kelas mengaji Al-Quran bersama Azdan Quranic Center sekarang. Ustaz ustazah akan bimbing satu per satu dari zero ke pro!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *