7 Adab Penting Menjelang Hari Raya Aidilfitri

Hari Raya Aidilfitri merupakan hari untuk meraikan kemenangan bagi umat Islam setelah berjaya menjalani ibadah puasa selama sebulan pada bulan Ramadhan.

Bila sebut tentang Aidilfitri ni, aktiviti yang paling ditunggu-tunggu mestilah aktiviti ziarah dari rumah ke rumah ataupun kita selalu sebut sebagai “beraya”.

Betul tak ?

Aktiviti beraya ni sebenarnya bagus tau sebab dapat merapatkan ukhuwah dan silaturahim antara rakan-rakan dan juga sanak saudara.

Islam sangat menggalakkan umatnya untuk memanjangkan silaturahim sesama insan. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Barangsiapa yang suka untuk diluaskan baginya rezeki, dan dipanjangkan umurnya, maka sambungkanlah silaturahim”.

{Riwayat Bukhari dan Muslim}

Tapi, sebelum tu ada beberapa adab hari raya yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW untuk kita lakukan.

Jom kami kongsikan kepada semua 7 Adab Penting Menjelang Hari Raya Aidilfitri !

#1 Takbir Hari Raya Aidilfitri

Takbir raya merupakan salah satu adab hari raya yang perlu dilakukan. Kita disunnahkan bertakbir bermula dari tenggelam matahari pada malam hari raya.

Selain nak memeriahkan suasana hari raya, takbir raya Aidilfitri sebenarnya adalah untuk mengingati Allah sebagai tanda syukur di atas nikmat-Nya kerana kita telah berjaya menjalani ibadah puasa selama sebulan.

Walaupun sibuk dengan persiapan menyambut Aidilfitri, jangan lah sampai lupa adab hari raya untuk bertakbir tau ! 

#2 Mandi Sunat Hari Raya

Mandi sunat hari raya ni antara salah satu perkara sunat yang dituntut pada pagi Aidilfitri. Mandi sunat hari raya ni sama je macam kita mandi biasa cuma ada niatnya.

Jadi, kami kongsikan niat mandi sunat Aidilfitri beserta dengan maknanya kat bawah ni tau ! 

نويت الغسل لعيد الفطر سنة لله تعلى

Maksudnya:

“Sahaja aku mandi sunat hari raya aidilfitri kerana Allah SWT.”

Sekarang semua dah tahu kan niat mandi sunat Aidilfiri ni? 

Jadi, bolehlah kita sama-sama amalkan adab hari raya ni bermula selepas terbit fajar hingga terbenamnya matahari.

#3 Pakai Pakaian Yang Terbaik

Adab hari raya yang ini pasti menjadi kegemaran ramai orang dan masing-masing mesti tak sabar nak menggayakan baju raya yang cantik dan indah pada pagi Aidilfitri.

Betul tak ?

Sebenarnya, memakai pakaian yang indah pada pagi Aidilfitri ni pun merupakan perkara sunnah tau !

Imam Syafie berkata:

“Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi – wangian.” 

Tapi anda semua jangan salah faham pula, memakai pakaian terbaik ni tidak semestinya pakaian yang baharu. Ia sebenarnya bermaksud memakai pakaian terbaik yang anda miliki.

Pada masa yang sama, pastikan juga pakaian tersebut menutup aurat dan mengikut garis panduan pemakaian yang telah disyariatkan dalam Islam.

Ingat tu !

#4 Makan Sebelum Solat Raya

Makan sebelum keluar rumah untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri juga merupakan adab hari raya yang perlu diamalkan pada waktu pagi Aidilfitri.

Hadis daripada Abu Hurairah bermaksud :

“Bahawa Rasulullah SAW menegah berpuasa pada dua hari iaitu hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha.”

Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah SAW melarang kita berpuasa pada 1 Syawal adalah sebagai tanda untuk meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadhan.

Jadi, pada 1 Syawal tu dapat lah kita sama-sama meraikan kemenangan tu dengan menjamu selera juadah raya yang sedap-sedap tu.

Tapi ingat ! jangan keterlaluan sehingga berlaku pembaziran pulak.

#5 Solat Sunat Aidilfitri

Adab hari raya yang ini pula hukumnya adalah sunat muakad. Walaupun solat sunat Aidilfitri ini tidak wajib, tapi kita digalakkan untuk laksanakannya.

Hal ini kerana, Rasulullah SAW sendiri tidak pernah meninggalkannya sejak mula disyariatkan sehinggalah Baginda wafat. 

Jadi, jangan lah kita lepaskan peluang yang datang setahun sekali ni untuk pergi ke masjid menunaikan solat raya dan juga mendengar khutbah raya. 

Ia juga adalah sebagai tanda kita mendahulukan Allah daripada perkara yang lain. 

Selain itu, membayar zakat fitrah sebelum solat Aidilfitri adalah lebih afdhal. 

Jadi, kepada mereka yang tak sempat nak bayar zakat fitrah tu boleh lah bayar zakat semasa datang untuk solat raya tu.

#6 Berjalan Kaki Ke Masjid & Guna Laluan Berbeza Ketika Pergi & Balik

Adab hari raya yang ini juga ada kaitan dengan tujuan menjalin silaturahim sesama kita. Perbuatan ini juga dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Jabir bin ‘Abdullah berkata:

“Rasulullah membezakan jalan (ketika pergi menunaikan solat dan pulang ke rumah) ketika Aidilfitri.” 

{Riwayat Bukhari}

Rasulullah SAW menganjurkan kita untuk berbuat demikian adalah supaya kita bertemu dengan orang yang berbeza pada perjalanan pergi dan balik. 

Dengan itu, kita berpeluang untuk berjumpa dengan lebih ramai orang sekaligus dapat bermaaf-maafan dan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada ramai orang.

#7 Ucapan Tahniah dan Saling Mendoakan

Selain daripada bermaaf-maafan, mengucapkan tahniah dan saling mendoakan antara satu sama lain juga merupakan adab hari raya yang boleh kita amalkan.

Jom kami kongsikan beberapa ucapan dan doa yang boleh diamalkan bersama pada hari raya nanti.

تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَ مِنْكُمْ

(Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu).

!كل عام وانتم بخير. عيد مبارك

(Semoga Anda dapat merayakannya setiap tahun. Selamat Hari Raya Aidilfitri!)

Sekarang semua dah tahu kan ucapan-ucapan hari raya yang boleh digunakan untuk mendoakan antara satu sama lain. 

Itulah 7 adab hari raya yang boleh kita jadikan sebagai amalan pada hari raya nanti. Adab hari raya di atas ni merupakan adab-adab yang digalakkan oleh Rasulullah SAW sendiri.

Jadi, bila kita melakukan adab-adab di atas ni kita akan dapat ganjaran pahala kerana melakukan amalan-amalan sunnah.

Selain itu, ada banyak lagi amalan sunnah lain yang disebutkan dalam Al-Quran yang boleh kita amalkan juga. 

Anda perlukan khidmat Konsultasi ?

Jom bersama AZDAN supaya kami dapat bantu selesaikan sebarang masalah anda ! Menerusi sesi soal jawab berkaitan mengaji Al-Quran . Jangan bimbang sepanjang KONSULTASI , ustaz ustazah akan bersama anda untuk mantapkan lagi bacaan Al-Quran.

Untuk makluman ! KONSULTASI ini bernilai RM50 , tapi untuk anda kami nak bagi secara PERCUMA je .

Ye PERCUMA sahaja. Berbaloikan ? Tunggu apa lagi jom ambil peluang ni !

Jom dapatkan Konsultasi bersama Azdan dengan Tekan link dibawah Sekarang👇👇👇

Saya perlukan konsultasi mengaji dengan Azdan Hari Ini