Apa Sebenarnya Kaitan Tarannum Dengan Al-Quran?

“Apa yang anda faham tentang tarannum?” 

“Ohhh…Tarannum tu yang baca Al-Quran berlagu-lagu tu macam dalam pertandingan Tilawah Al-Quran”.

Haa.. Bila ditanya kepada sesiapa pun tentang maksud tarannum, mesti ramai yang mempunyai kefahaman sama seperti di atas tu.

Betul lah tu… Sebab tarannum dengan Al-Quran ni memang saling berkait. Tak pernah lagi kita dengar orang sebut bacaan berlagu dalam Al-Quran tu sebagai nasyid.

Betul tak? Heheh…

Tapi apa agaknya maksud tarannum ni yang sebenarnya?

Tarannum adalah salah satu ilmu yang penting dalam pembacaan Al-Quran. Ilmu tarannum adalah berkenaan irama ketika mengalunkan bacaan Al-Quran.

Al-Quran mempunyai kesenian yang unik daripada sudut bacaan yang memerlukan seseorang menguasai ilmu tajwid, tarannum, qiraat dan lain-lain. 

Ilmu tarannum ini telah bermula sejak pada zaman Rasulullah SAW lagi dan telah dijelaskan dalam beberapa hadis sahih seperti:

لَيْسَ مِنَّا مَن لَّمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ

Maksudnya: “Bukanlah dari kalangan kami (umatku) orang yang tidak melagu-lagukan (bertarannum) dengan al-Quran”.

{Riwayat Abu Dawud (1471)}

Pembacaan Al-Quran secara berlagu ini juga memiliki beberapa gaya bacaan yang berbeza seperti gaya bacaan Misri, Hijazi, Iraqi, Kurdi atau Ajami.

Di Malaysia, gaya bacaan yang paling masyhur dan banyak digunakan oleh Qari dan Qariah dalam pertandingan Tilawah Al-Quran dan sebagainya adalah gaya Misri.

Gaya bacaan Misri ini pula terbahagi kepada beberapa jenis tarannum seperti Baiyati, Soba, Hijaz, Nahwand, Rast, Sikah dan Jiharkah.

Nak tahu dengan lebih lanjut tentang jenis-jenis tarannum ni? Jom baca artikel ni sampai habis !

#1 TARANNUM BAIYATI

Ada pendapat yang mengatakan Baiyati ini berasal dari nama daerah Iraq dan dibawa oleh orang Syria. Walaubagaimanapun, tarannum ini merupakan salah satu tarannum yang terkenal di kalangan qari-qari Arab terutamanya di Mesir. 

Tarannum ini mempunyai sifat alunan yang lembut di samping ketegasan. Ianya juga mempunyai unsur harmoni dan ketenangan.

Baiyati ini juga merupakan asas dalam ilmu tarannum. Oleh itu, kalau jenis tarannum ini tidak dimasukkan dalam sesuatu persembahan bacaan Al-Quran, mesti akan terasa seperti ada yang belum lengkap dalam persembahannya. 

Ianya juga berperanan dalam memantapkan persembahan bacaan Al-Quran lebih-lebih lagi pada pembukaan dan penutup bacaan.

#2 TARANNUM NAHAWAND

Tarannum Nahawand ni berasal dari daerah mana pula agaknya ya?

Nahawand merupakan salah satu nama tempat di daerah Hamdan, Parsi atau lebih dikenali sebagai Iran. Ianya juga telah dipopularkan oleh Qari di daerah tersebut mengikut budaya tersendiri.

Macam mana pula sifat tarannum Nahawand ni? Ada sifat alunan yang lembut juga ke?

Ya.. Betul tu.. Nahawand ini juga mampu melembutkan bacaan Al-Quran serta menenangkan jiwa si pembaca dan juga pendengarnya.

Hal ini kerana, tarannum ini mempunyai sifatnya yang tersendiri seperti gerak alunan yang ringan tapi berkesan, mempunyai kesederhanaan yang memikat jiwa.

Tarannum ini juga lebih kepada ayat memohon dan bercerita dalam kelembutan yang bersopan.

#3 TARANNUM RAST

Tarannum Rast ini juga berasal dari Parsi, Iran sama seperti Nahawand tadi. Tapi, ianya telah menjadi salah satu tarannum yang popular di Mesir.

Macam mana pula ia boleh jadi terkenal di Mesir ?

Haa.. Sebenarnya tarannum Rast ni telah diubahsuai oleh orang-orang Arab Mesir, sebab itulah ianya lebih terkenal dikalangan qari-qari di Mesir.

Kelembutan alunan tarannum Rast mempunyai bunga-bunga suara membuatkan ia berbeza dengan tarannum lain dari segi lagunya dan menjadikan ia sebuah tarannum yang unik.

Tarannum ini juga mempunyai gerakan lembut di samping ketegasan membuatkan ianya sesuai dengan mana-mana bentuk ayat Al-Quran.

#4 TARANNUM SOBA

Sama seperti Rast dan Nahawand, tarannum Soba ini juga telah dipopularkan oleh qari-qari dari Arab mengikut budaya mereka.

Apa kelainan yang ada pada tarannum Soba ni?

Tarannum ini mempunyai alunan yang lembut mendayu dan sesuai dengan ayat yang menunjukkan permohonan, merayu dan merintih.

Ianya juga mempunyai gerak ringan yang meresap jiwa serta sesuai dalam thabaqat  yang sederhana. 

Tarannum Soba ini juga mempunyai angin suara yang hampir sama dengan tarannum Baiyati. Walaubagaimanapun, setiap tarannum mempunyai sifat tersendiri dalam mewarnai kepelbagaian dalam lagunya.

#5 TARANNUM HIJAZ

Tarannum Hijaz ini pula adalah tarannum yang menggunakan lahjah Mesir yang lebih lembut dan menarik dengan kelembutan bahasa Al-Quran.

Hijaz juga dikenali sebagai tarannum yang mempunyai alunan yang tegas dan bersemangat. Ianya sesuai dengan mana-mana thabaqat untuk ayat doa, perintah, marah atau amaran.

Bagi qari yang mempunyai suara yang tinggi dan lantang sesuai dengan tarannum jenis ini kerana ayat-ayat yang dibaca adalah bertujuan untuk ketegasan terhadap maksud ayat Al-Quran.

Selain itu, pergerakan alunannya tidak begitu fleksibel berbanding tarannum lain tetapi ianya bersifat lincah dan mampu menghidupkan persembahan.

#6 TARANNUM SIKAH

Tarannum Sikah juga merupakan sebuah tarannum yang unik. Tapi, apa pula uniknya Sikah ni berbanding tarannum lain?

Gerakannya yang ringan dan bersahaja membuatkan tarannum Sikah ini berbeza dan unik berbanding dengan tarannum yang lain.

Sikah amat sesuai digunakan pada ayat-ayat yang menceritakan tentang kisah Nabi atau kaum, kerohanian, hari kiamat dan sebagainya.

Kenapa tarannum Sikah sesuai untuk ayat yang menceritakan kisah-kisah tu ya?

Ianya adalah kerana tarannum Sikah ini mempunyai alunan lembut menusuk kalbu yang membawa kepada keinsafan di setiap makna bacaan Al-Quran.

#7 TARANNUM JIHARKAH

Bagaimana pula sifat bagi tarannum Jiharkah ni ya?

Jiharkah dikenali dengan sifatnya yang mendayu-dayu dan juga ayat yang merintih dan sesuai dialunkan pada ayat yang menceritakan tentang rintihan, hari kiamat atau doa.

Ia juga sesuai dibacakan pada ayat yang bersifat dalaman ataupun rohani serta sesuai dengan thabaqat yang sederhana.

Tarannum Jiharkah ini juga berperanan sebagai tarannum yang menenangkan persembahan yang tegang, di samping dapat memberi kefasihan dan ketartilan dalam bacaan Al-Quran.

Itulah dia 7 jenis tarannum yang biasa kita dengarkan alunannya dialunkan oleh qari-qari di Malaysia.

Ilmu tarannum Al-Quran ini bukanlah sebuah ilmu yang boleh direka dengan sewenang-wenangnya kerana ia dibentuk daripada disiplin ilmu tajwid.

Oleh itu, kalau nak belajar tarannum ni tak boleh belajar dengan sembarangan guru tau !

Nak menuntut ilmu tarannum ni mestilah daripada guru tarannum Al-Quran yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang luas dalam bidang ilmu tarannum ni.

Sertai Seminar The Voice Of Quran (TVOQ) akan datang!

Tekan link di bawah

http://wa.link/zfixco

.
.

INFO SEMINAR “THE VOICE OF QURAN”

🗓️ 27 Ogos 2022 (Sabtu)

⏰ 8.30 Pagi hingga 5.30 Petang

🏢 USIM, Nilai. N9

Kita jumpa di seminar nanti!