Apa yang kami belajar tentang Tarannum? : Siri 1

Apa yang kami belajar tentang Tarannum? : Siri 1



Julung-julung kalinya dalam sejarah Azdan Quranic Center. Seminar The Voice Of Quran (TVOQ) berjaya dijalankan pada hari ini, Sabtu, 27 Ogos 2022 bertempat di Dewan Kuliah Pusat (DKP 3) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Seminar ini merupakan kerjasama di antara Pusat Quran Azdan dengan Pusat Alumni & Kerjaya, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Hampir 200 orang peserta berjaya menghadirkan diri ke dewan seminar seawal jam 7.30 pagi tadi. Peserta kali ini terdiri daripada golongan dewasa yang merupakan pelajar Azdan dan bukan pelajar Azdan.

Istimewanya dalam seminar kali ini, kita turut menerima penyertaan pelajar daripada beberapa buah sekolah seperti SMK Dato Hamzah, SMK Jugra, SMK KLIA, SMK Felda Seri Sendayan, SK Seremban 2, SK Jijan, SJKC Tung Hua, Maahad Tahfiz Darul Ulum dan Sekolah Al-Faizin Putrajaya.

Panel utama dalam seminar ini adalah Ustaz Husaini Mahmur, Qari Kebangsaan yang berpengalaman luas dalam ilmu taranum. Beliau merupakan pemenang tempat ke-3 dalam Pertandingan Tilawah Al-Quran peringkat Kebangsaan pada tahun 2016 dan 2020.

Sempena dengan bulan kemerdekaan, majlis dibuka dengan bacaan sajak yang bertajuk “Sudahkah Aku Merdeka?” oleh pengacara majlis sepanjang seminar ini iaitu Ustaz Faiz dan Ustazah Nabila. 

Bukan itu sahaja, gimik persembahan silat juga diadakan sebelum panel utama kita naik ke pentas utama untuk slot yang pertama hari ini. Persembahan silat diiringi dengan lagu “”Mentera Semerah Padi”.

Kemudian, Ustaz Husaini Mahmur naik ke pentas utama dengan berpakaian seperti pahlawan Melayu, segak dengan tanjaknya. Dah macam Mat Kilau dah panel kita hari ni, Heheh…

Slot pertama hari ini adalah berkaitan dengan Pengenalan & Praktikal Suara. Dalam slot ini, peserta dapat mengetahui tentang jenis-jenis tingkatan suara atau istilahnya ialah Tobaqot suara.  Tobaqat suara ini ada 4 jenis iaitu Qarar, Nawa, Jawab dan Jawabul Jawab.

Dalam slot ini juga para peserta dapat mempelajari tentang Teknik Untuk Panjangkan Nafas secara teori dan praktikal. Haa.. praktikal tu yang seronok tu ! Dapat test suara sama-sama dengan Ustaz Husaini, ada juga yang berpeluang test suara secara depan-depan dengan beliau. Sampai tak cukup nafas lah para peserta kita tadi. Hihihi..

Terus kepada slot kedua iaitu Pengenalan & Praktikal Taranum. Hijaz iaitu taranum yang bersifat tegas. Rupa-rupanya dalam taranum pun ada istilah harakat juga tau ! Ustaz Husaini Mahmur menerangkan dengan panjang lebar tentang 4 jenis harakat dalam taranum beserta dengan praktikalnya sekali.

Dah seronok dengar tentang taranum dan suara dalam dua slot tadi, pada slot ketiga ini pula adalah tentang Asas Al-Quran disampaikan oleh seorang Guru Profesional Kaedah Azdan yang telah mendapat tauliah mengajar Negeri Sembilan iaitu Ustaz Muhammad bin Abdullah. Dalam slot ini, Ustaz Muhammad bongkarkan banyak rahsia dalam Kaedah Azdan untuk kuasai makhraj dan sifat huruf dalam Al-Quran dengan mudah dan cepat. Haa.. beruntung tau para peserta yang hadir ke seminar hari ini ! 

Peserta seminar hari ini juga berpeluang mengikuti contest iaitu dengan memuat naik gambar sepanjang seminar hari ini di laman media sosial masing-masing dengan tanda pagar #HiburanMendidikJiwa #BerkatBahagiaBerjaya #Azdan. Hadiah yang menarik bakal menanti !

Seminar The Voice Of Quran #HiburanMendidikJiwa berehat sebentar memberi laluan untuk makan tengah hari dan solat Zohor. Jumpa lagi pada sesi petang dengan slot-slot yang lebih menarik !