Ini Dia 5 Adab Dengan Al-Quran Yang Wajib Kita Cakna !

Al-Quran adalah sehebat-hebat anugerah yang Allah SWT kurniakan kepada hamba-hambaNya. Al-Quran itu mukjizat yang terdapat padanya kebenaran yang abadi lagi hakiki.

Al-Quran merupakan wahyu dan kitab suci yang Allah SWT turunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui Jibril AS. Ia adalah kitab yang sesuai pada setiap zaman mahupun generasi. Hingga ke hari ini, Al-Quran sentiasa menjadi panduan dan pedoman dalam menempuh kehidupan setiap manusia.

Segala perbuatan yang dilakukan oleh manusia memerlukan etika dan adab untuk melakukannya, apatah lagi apabila membaca Al-Quran yang memiliki nilai yang sangat tinggi dan mulia di sisi Allah SWT bahkan kandungan di dalamnya mencakupi pelbagai sudut keistimewaan. Membaca Al-Quran juga adalah ibadah yang amat dianjurkan di dalam Islam. Maka, sewajarnya ia perlu dijaga rapi dan dipelihara sebaik-baiknya. 

Bila sebut pasal Al-Quran, sebenarnya mungkin ramai yang masih tidak tahu, yang sebenarnya dengan Al-Quran juga ada adabnya. 

Jadi, sebelum anda membuka Al-Quran, jom ketahui dulu adab-adab ketika membaca Al-Quran.

1) Bersuci

Islam amat menggalakkan umatnya untuk berada dalam keadaan suci terlebih dahulu ketika memegang dan membaca Al-Quran. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah pada ayat 222,

اِنَّ اللّٰهَ يُحِبُّ التَّوَّابِيْنَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِيْنَ

Maksudnya:

“Sungguh, Allah amat menyukai orang yang bertaubat dan menyukai orang yang menyucikan diri.”

Maksud bersuci di sini adalah membawa kepada makna bebas daripada hadas besar dan juga hadas kecil.

Walaubagaimanapun, ia hanyalah adab apabila kita dengan Al-Quran. Ini kerana ada pendapat yang mewajibkan, namun menurut ijma’ ulama, jika membacanya tanpa wudhu maka ia tetap dibolehkan.

2) Tempat yang Bersih

Untuk mendapatkan ketenangan hati ketika membaca Al-Quran, anda juga perlu mencari lokasi atau tempat yang tenang, bersih dan suci daripada najis mahupun kekotoran. 

Sesungguhnya Allah SWT amat menyukai keindahan dan kebersihan kerana ianya juga separuh daripada keimanan kita sebagai hambaNya. Menurut Ashmawi, al-Nazafah (النظافة) tidak hanya dapat diertikan bersih secara lahiriah, tetapi ia juga bersih secara ma’nawiyah. Ini berdasarkan hadis Riwayat Tarmizi,

إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ يُحِبُّ الطَّيِّبَ ، نَظِيفٌ يُحِبُّ النَّظَافَةَ ، كَرِيمٌ يُحِبُّ الكَرَمَ ، جَوَادٌ يُحِبُّ الجُودَ ، فَنَظِّفُوا ، أُرَاهُ قَالَ ، أَفْنِيَتَكُمْ وَلاَ تَشَبَّهُوا بِاليَهُودِ

Maksudnya: 

“Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu bersih, Dia menyukai kebersihan. Allah itu mulia, Dia menyukai kemuliaan. Allah itu dermawan, ia menyukai kedermawanan maka bersihkanlah olehmu tempat-tempatmu dan janganlah kamu menyerupai kaum Yahudi.”

3) Duduk Menghadap Kiblat dan Menutup Aurat

Imam al-Nawawi ada menyebut dalam al-Tibyan fi Adab Hamalatil Quran, beliau menulis tentang hadis Nabi SAW mengenai sunat ketika membaca Al-Quran menghadap kiblat ketika kita membacanya di luar solat iaitu, 

خَيْرُ الْمَجَالِسِ مَا اسْتُقْبِلَ بِهِ الْقِبْلَةَ

Maksudnya: 

“Sebaik-baik majlis adalah yang menghadap kiblat.”

Dan apabila sudah duduk menghadap kiblat, maka digalakkan juga untuk duduk dengan betul serta khusyuk dalam menghayati isi-isi Al-Quran yang dibaca.

Selain itu, disunatkan juga untuk menutup aurat bagi menghormati kitab dan kalimah suci yang akan dibaca nanti.

Aurat bagi lelaki ialah dari pusat hingga ke lutut. Manakala bagi perempuan pula adalah merangkumi seluruh tubuh kecuali muka dan juga telapak tangan. Pastikan juga pakaian tersebut suci dan bebas daripada hadas ketika membaca Al-Quran. 

4) Memulakan dengan Istiazah dan Basmalah

Jadikanlah dua perkara ini sebagai amalan wajib setiap kali sebelum membaca Al-Quran. Ini kerana, syaitan amat membenci manusia yang ingin melakukan kebaikan. Maka, mereka akan berusaha untuk membuat seseorang itu leka dan lalai sebelum melakukan kebaikan tersebut. 

Oleh sebab itu, Allah SWT telah menyeru manusia apabila ingin membaca kalamNya untuk sentiasa memohon perlindungan oleh Allah SWT daripada dibelenggu syaitan yang direjam. 

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl pada ayat 98,

فَاِذَا قَرَأْتَ الْقُرْاٰنَ فَاسْتَعِذْ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰنِ الرَّجِيْمِ

Maksudnya:

“Maka apabila engkau (Muhammad) hendak membaca Al-Quran, mohonlah perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk.”

5) Membacanya dengan khusyu’

Sesungguhnya, Al-Quran itu terkandung di dalamnya pelbagai berita. Ia merangkumi berita yang berbentuk gembira, peringatan mahupun ancaman. Namun, semuanya adalah ganjaran dan balasan kepada manusia apabila mereka dikembalikan kepada Allah kelak. 

Oleh itu, antara adab dengan Al-Quran yang lainnya adalah, seseorang itu perlulah menghayati setiap isi yang terdapat di dalam Al-Quran dengan penuh rasa keinsafan dan kekhusyukan dalam diri. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Nisa’    

اَفَلَا يَتَدَبَّرُوْنَ الْقُرْاٰنَ ۗ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللّٰهِ لَوَجَدُوْا فِيْهِ اخْتِلَافًا كَثِيْرًا

Maksudnya:

“Maka tidakkah mereka menghayati (mendalami) Al-Quran? Sekiranya (Al-Quran) itu bukan dari Allah, pastilah mereka menemukan banyak hal yang bertentangan di dalamnya.”

AllH SWT juga berfirman dalam Surah Al-Maidah pada ayat 83,

وَاِذَا سَمِعُوْا مَآ اُنْزِلَ اِلَى الرَّسُوْلِ تَرٰٓى اَعْيُنَهُمْ تَفِيْضُ مِنَ الدَّمْعِ مِمَّا عَرَفُوْا مِنَ الْحَقِّۚ يَقُوْلُوْنَ رَبَّنَآ اٰمَنَّا فَاكْتُبْنَا مَعَ الشّٰهِدِيْنَ

Maksudnya:

“Dan apabila mereka mendengarkan apa (Al-Quran) yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran yang telah mereka ketahui (dari kitab-kitab mereka sendiri), seraya berkata, “Ya Tuhan, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al-Quran dan kenabian Muhammad).”

Demikianlah antara perkara yang perlu diambil perhatian oleh umat islam tatkala ingin mendekatkan diri dengan Al-Quran iaitu dengan menjaga adab-adab dengan kitab suci ini. 

Menjaga adab dengan Al-Quran samada untuk membaca, menghafal dan bertadabbur ibarat menjaga adab dengan Allah memandangkan kitab tersebut adalah kalam Allah yang teramat mulia.

Maka usahalah selalu untuk sentiasa menjaga adab dengan Al-Quran dan sentiasa berdoa mengharapkan ampunan dan rahmat dariNya supaya sentiasa tergolong di kalangan orang-orang yang terus menerus mencintai Al-Quran. 

Anda teringin nak lancar mengaji serta kuasai ilmu tajwid? Jom sertai kelas mengaji Al-Quran bersama Azdan Quranic Center. Kami bantu dan bimbing anda sampai berjaya!

Tekan link di bawah untuk daftar kelas mengaji sekarang 👇👇👇

https://go.wasap.my/pengajianazdan26