“MENGAJI AL-QURAN? MALULAH, SEBAB DAH LAMA TINGGAL…”

Jangan malu untuk belajar mengaji Al-Quran.

Kenapa perlu malu untuk baca Kalam Suci Allah? 

Ramai manusia hari ini yang menyesal di usia lanjutnya  tidak dapat baca Al-Quran dengan sempurna hanya kerana sifat malu yang tidak bertempat.

Jika anda pernah merasakan bibit-bibit malu untuk belajar mengaji kerana sudah lama tinggalkan Al-Quran, ketahuilah itu merupakan petanda yang baik. Tanda itu hanya Kerana Allah mengetuk pintu hati anda untuk memperbaiki setiap kelemahan diri dan berusaha menjadi hambaNya yang lebih baik. 

Namun, jangan biarkan perasaan malu untuk belajar mengaji terkubur terlalu dalam. Sebagai seorang muslim, kita seharusnya menepis perasaan malu untuk menuntut ilmu terutamanya dalam menuntut ilmu berkaitan agama.

Kenapa?

Kerana terlalu banyak kelebihan daripada usaha mempelajari Al-Quran yang diceritakan melalui Al-Quran dan hadis. Jom sama-sama kita telusuri satu persatu!

  1. Digandakan ganjaran kebaikan

Ketahuilah, Allah telah menjanjikan ganjaran kebaikan buat hambaNya yang berusaha untuk belajar membaca Al-Quran walaupun ketika membacanya tersasul-sasul atau merangkak-rangkak.

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf (Hadis riwayat Tirmizi)

Bayangkan, betapa banyak ganjaran manfaat yang bakal kita perolehi sekiranya kita sentiasa konsisten untuk membaca Al-Quran setiap hari. Jika tak dapat baca satu muka surat sehari, sekurang-kurangnya biasakan membaca satu ayat satu hari. Niatkan dalam diri untuk istiqamah belajar membaca Al-Quran. Biar sedikit tapi tetap berterusan. Percayalah, Allah tidak menilai pada kuantiti bacaan kita tetapi  Allah pandang usaha kita mempelajari ilmu Al-Quran tersebut.

  1. Al-Quran menjadi panduan hidup

Beruntungnya kita dilahirkan sebagai seorang Islam kerana Allah SWT telah hadiahkan sebuah panduan lengkap untuk kita berada pada landasan yang benar. Segala persoalan tentang kehidupan ini, Allah telah rangkumkan dalam Al-Quran. 

Tugas kita sebagai manusia perlu berusaha untuk merungkai dan memahami pengajaran yang terkandung dalam Al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! Kami telah memudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)? Surah Al-Qamar: 17

  1. Belajar Alquran

Cara terbaik untuk mempelajari Al-Quran adalah dengan cara bertalaqqi atau belajar secara bersemuka dengan guru. Hal ini kerana sekiranya ada kesilapan, guru anda boleh terus menegur dan membetulkan bacaan anda. Belajar Al-Quran bersama guru pula, bukan sembarangan guru yang kita boleh belajar. Kita hendaklah mencari guru yang betul, kelulusan mengajar yang dipercayai. 

Di Adzan, terdapat guru-guru tutor yang profesional boleh mengajar Al-Quran dengan baik. Walaupun sekarang sedang PKP, tidak semestinya kita perlu berjumpa guru kita secara berdepan untuk faham belajar Al-Quran. Belajar mengaji secara Online pun boleh mengaji dengan lancar. Jimat masa dan tenaga untuk datang secara fizikal. 

  1. Bekalan syafaat pada hari Akhirat

Tidak terbayang bagaimana dahsyatnya keadaan pada hari di mana semua manusia di muka bumi akan dihimpunkan di padang Mahsyar kelak. Semua manusia akan dihamparkan dengan bahang kepanasan yang luar biasa.

Hanya mereka yang terpilih sahaja akan mendapat teduhan daripada Allah SWT. Dengan izin Allah, usaha kita sentiasa berdamping dengan Al-Quran ketika hidup di dunia akan Allah masukkan dalam golongan yang mendapat teduhanNya.

Daripada Abu Umamah RA, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya (Hadis riwayat Muslim)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *