Bila sebut pasal mengaji, mesti ramai dah tahu apa manfaatnya selain mendapat pahala dan ganjaran yang besar di sisi Allah SWT. Betapa agungnya Al-Quran sehingga ia menjadi pedoman seluruh umat pada setiap zaman. 

Al-Quran adalah kalamullah dan mukjizat yang paling mulia. Kata Al-Syahid Hasan al-Banna,

“Al-Quran adalah sebuah perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum Islam, sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu ke dalam hati yang beriman. Ia adalah alat terbaik bagi para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah dengan cara membacanya.”

Seiring dengan perkembangan teknologi zaman sekarang, mempelajari Al-Quran secara online sebenarnya tidak menjadi masalah kepada kita untuk mempraktikkannya mahupun mempelajarinya. 

Sekiranya anda tidak berkesempatan menuntut ilmu daripada seorang guru secara bertalaqqi, maka usahalah untuk belajar mengaji di internet untuk meningkatkan ilmu Al-Quran sekaligus menguasai ilmu tajwid. Tetapi, syaratnya anda haruslah mencari guru atau kelas pengajian yang ada autoritinya. Atau dengan kata mudah, mereka yang ada kelayakannya.

Jadi kalau tanya antara dua ini, mana satu yang paling best agaknya?

Ikut pada keadaan. Ada orang bila dia sentiasa sibuk, jadi dia lebih memilih kepada belajar mengaji ‘online’. Supaya masa dia lebih teratur dan tak perlu susah payah untuk hadir ke kelas pengajian Al-Quran dengan jarak yang jauh. Kan dah makan masa kat situ?

Dan kalau kita lihat, sebenarnya belajar mengaji ‘online’ ni membuka ruang dan peluang yang besar buat kita semua untuk menambah ilmu pengetahuan Al-Quran secara mudah sejak negara kita ni dilanda wabak Covid-19 ni. 

Tambah-tambah pula sekarang ni dengan perintah kawalan pergerakannya (PKP) yang tidak menentu. Maka, anda yang nak belajar mengaji ni tak perlu risau dah kalau susah nak keluar rumah untuk ke kelas pengajian Al-Quran. Buka je facebook, macam-macam kelas pengajian yang ada. Tinggal nak atau tak nak je.

Berbeza pula kalau anda belajar mengaji ‘offline’ atau istilah lain iaitu ‘bertalaqqi’. Anda akan lebih dekat dengan guru dan lebih nampak kesalahan yang dibaca dengan lebih jelas. Bahkan anda juga akan diberikan penelitian dan perhatian yang lebih semasa anda membaca Al-Quran.

Istimewanya apabila belajar Al-Quran secara bertalaqqi,   ketepatan dalam sebutan huruf dapat dikuasai secara penuh. Contohnya dalam menentukan kadar mad, sebutan huruf, bacaan Isymam, raum, imalah, tashil dan sebagainya yang tidak mungkin diketahui dengan hanya membaca atau mempelajari ilmu tajwid secara teori tanpa tunjuk ajar secara amali atau praktikal oleh guru.

Selain itu, kelebihan lainnya apabila dapat belajar mengaji offline ini adalah, ia merupakan sunnah Baginda Rasulullah SAW. Baginda bertalaqqi Al-Quran dengan Malaikat Jibril AS dan mengkhatamkannya setiap kali bulan Ramadhan dan dua kali pada tahun terakhir sebelum kewafatan Baginda SAW.

Melalui hadis Riwayat Muslim dan Bukhari, daripada Fatimah RA berkata, bahawa Nabi Muhammad SAW telah berbisik kepadaku:

أَنَّ جِبْرِيلَ كَانَ يُعَارِضُنِي بِالقُرْآنِ كُلَّ سَنَةٍ، وَإِنَّهُ عَارَضَنِي العَامَ مَرَّتَيْنِ، وَلاَ أُرَاهُ إِلَّا حَضَرَ أَجَلِي

Maksudnya:

“Jibril membacakan al-Quran kepadaku setiap tahun sekali dan sesungguhnya Jibril membacakan al-Quran kepadaku pada tahun ini sebanyak dua kali. Aku tidak melihatnya melainkan isyarat bahawa ajalku telah datang”.

Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Jadi, ia sebenarnya berbalik kepada diri anda sendiri. Terpulang pada diri untuk membuat pemilihan berdasarkan situasi dan keadaan anda. 

Akhir kata, tidak kisah lah sama ada mengaji di mana-mana mahupun platform apa sekali pun, ia tetap usaha yang dipandang tinggi oleh Allah SWT. 

Allah amat suka bagi mereka yang konsisten melakukan kebaikan dan setiap perintah yang disuruh, dari sebesar-besar perkara hinggalah ke sekecil-kecil perkara. Maka, usahalah untuk sentiasa menjadi pecinta Al-Quran hingga hati kita semua benar-benar mencintai dan dapat merasai kehadiran Allah di dalam hati. 

Anda perlukan khidmat Konsultasi ?
Jom bersama AZDAN supaya kami dapat bantu selesaikan sebarang masalah anda ! Jangan bimbang sepanjang KONSULTASI , ustaz ustazah akan bersama anda untuk mantapkan lagi bacaan Al-Quran.

Untuk makluman ! KONSULTASI ini bernilai RM50 , tapi untuk anda kami nak bagi secara PERCUMA je .
Ye PERCUMA sahaja. Berbaloikan ? Tunggu apa lagi jom ambil peluang ni !
Jom dapatkan Konsultasi bersama Azdan dengan Tekan link dibawah Sekarang 

Saya perlukan konsultasi mengaji dengan Azdan Hari Ini.