Rezeki kita, Allah yang pegang. Minta dengan Dia dulu…

Dalam kehidupan ini, ramai antara kita yang diuji dengan masalah kewangan sehingga menyesakkan dada.

Adakalanya hati dijentik cemburu disaat terlihat kelebihan pada orang lain yang lebih murah rezekinya daripada kita. Mungkin saja dia bertuah dilahirkan dalam keluarga yang berada atau berkerjaya hebat. 

Namun, satu perkara yang perlu kita terapkan dalam konsep rezeki adalah ianya bukan semata pada wang ringgit sahaja. Rezeki boleh jadi kita mempunyai kesihatan yang baik sehingga hari ini, keluarga yang bahagia dan lain-lain. Duit yang banyak tapi tiada keberkatan didalamnya hanya membuatkan kehidupan kita merasa sempit.

Bagi yang selalu merasai kesempitan rezeki, boleh amalkan ikhtiar ini untuk buka pintu-pintu rezeki. Mana tahu dengan keikhlasan dan kepercayaan, insyaAllah diperkenankan-Nya.

1. Solat Awal Waktu

Hari ini kita menyaksikan ramai antara kita yang sanggup bekerja dari siang ke malam semata untuk mengejar deadline kerja yang sampai bila pun takkan pernah habis tetapi solat, Allah dah kata, solatlah di awal waktu. 

Kenapa kena solat di awal waktu? Sebabnya ada nikmat rezeki yang melimpah-ruah bila kita laksanakan perintah Allah dengan bersungguh-sungguh. 

Seperti firman Allah SWT dalam hadis qudsi:

“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2. Lazimi Solat Dhuha

Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasulullah SAW sendiri ialah solat sunat Dhuha. Banyak hadis yang menggalakkannya dan menyatakan keutamaannya.

Untuk mengamalkan solat sunat Dhuha, bagi mereka yang bekerja, adalah dicadangkan mengambil wuduk terlebih awal di rumah. Selepas itu, kita akan menaiki kenderaan dalam keadaan berwuduk ke tempat kerja. In Shaa Allah, akan mendapat perlindungan Allah SWT semasa dalam perjalanan. Apabila sampai ke tempat kerja, boleh terus mengerjakan solat sunat Dhuha.

Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi :

“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

3. Banyakkan Beristighfar

Sebagai manusia biasa yang tidak pernah lari dari melakukan kesilapan dan kesalahan, hendaklah kita sentiasa melazimi istighfar setiap hari. Selain diampuni dosa, Allah juga menjanjikan ganjaran yang lumayan untuk hambaNya yang selalu beristighfar.

Betapa besarnya kelebihan istighfar ini hingga Allah menjanjikan limpahan nikmat yang tidak putus-putus kepada mereka yang beristighfar, seperti di dalam firmanNya yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya).” {Surah Hud, Ayat 3}

4. Jaga Hubungan Dengan Manusia

Kita bukannya hidup seorang diri di atas muka bumi ini, malah dikelilingi dengan manusia dan makhluk lain juga. Tak cukup dengan hanya menjaga hubungan baik antara kita dengan Allah, kalau hubungan kita dengan manusia berantakan.

Pertama sekali, yang paling penting adalah hubungan kita dengan kedua ibu bapa mestilah dalam keadaan yang baik. Kalau dengan ibu bapa pun kita bermusuhan, lantas masih adakah sinar ketenangan dalam hidup kita?

Kemudian, antara punca hidup tidak tenteram adalah kerana rosaknya sebuah persaudaraan. Seeloknya turunkanlah ego dan saling bermaafan antara satu sama lain. Masalah selesai, kes ditutup, hidup tenang dan hati pun senang. In Shaa Allah, rezeki pun semakin lapang.

5. Jadikan Al-Quran Sebagai Kawan Karib

Al-Quran itu penyuluh hidup dan petunjuk jalan ke Syurga yang kekal abadi. Jangan hanya Islam pada IC, tapi Al-Quran pun kita tak pernah sentuh, jauh sekali nak buka dan baca. Kemudian, merungut tentang kesempitan hidup dan keresahan hati yang tidak berpenghujung. (Baca sini untuk dekatkan diri dengan Al-Quran)

Macam mana hidup nak tenang kalau Al-Quran pun kita berani abaikan. Lebih parah lagi, kalau perintah Allah pun kita berani langar tanpa rasa berdosa. Allahu! Semoga kita dijauhkan dari tergolong dalam golongan sebegitu.

Oleh itu, janganlah sesekali tinggalkan Al-Quran. Sesibuk mana pun kita bekerja cari rezeki dan nafkah untuk keluarga, setidaknya luangkanlah sedikit masa dalam sehari untuk membaca Al-Quran. Amalkanlah Surah Al-Waqiah setiap hari. Mudah – mudahan hidup kita akan sentiasa dilimpahi rezeki yang mencurah-curah penuh keberkatan.

Natijahnya, tiada gunanya kalau rezeki melimpah ruah tetapi datangnya dari hasil yang haram dan tiada keberkatan di dalamnya. Biar duit tak banyak, asalkan berkat sebab bila ada keberkatan, harta yang sikit pun kita rasa cukup dan memadai untuk hidup.

Namun, amalkanlah tips-tips di atas untuk mendapatkan kelapangan rezeki dan juga ketenangan hidup. Tapi ingat, kita hanya mampu berusaha dengan sehabis baik, namun Allah jua lah yang menentukan semuanya dan Dia lah Maha Pemberi Rezeki. Apa-apa pun, bergantung haraplah kepada Allah, bukan kepada amalan kita semata-mata.

Mudah-mudahan Allah kurniakan kita rezeki yang halal lagi berkat sepanjang hidup. Selamat beramal ! 

Anda perlukan khidmat Konsultasi ?
Jom bersama AZDAN supaya kami dapat bantu selesaikan sebarang masalah anda ! Jangan bimbang sepanjang KONSULTASI , ustaz ustazah akan bersama anda untuk mantapkan lagi bacaan Al-Quran.

Untuk makluman ! KONSULTASI ini bernilai RM50 , tapi untuk anda kami nak bagi secara PERCUMA je .
Ye PERCUMA sahaja. Berbaloikan ? Tunggu apa lagi jom ambil peluang ni !
Jom dapatkan Konsultasi bersama Azdan dengan Tekan link dibawah Sekarang 

Saya perlukan konsultasi mengaji dengan Azdan Hari Ini.