Al-Quran adalah mukjizat dan sehebat-hebat anugerah yang diturunkan oleh Allah SWT kepada setiap hambaNya. 

Al-Quran itu mukjizat yang terdapat padanya kebenaran yang abadi lagi hakiki. Bahkan segala isi kandungannya dijamin terpelihara dari sebarang kepalsuan dan perubahan sehinggalah ke akhir zaman. Setiap mereka yang membacanya adalah dikira sebagai ibadah dan dicatatkan pahala di sisi Allah SWT.

Selain daripada itu, setiap orang Islam yang ingin membaca dan menyentuh Al-Quran mestilah dalam keadaan suci. Begitu juga Firman Allah dalam Surah Muzzammil pada ayat 4, 

وَرَتِّلِ الْقُرْاٰنَ تَرْتِيْلًاۗ

“Dan bacalah Al-Quran itu dengan perlahan-perlahan.”

Menuntut ilmu adalah suatu kemestian. Allah SWT memerintahkan hamba-hambaNya untuk sentiasa menuntut ilmu. Ini kerana, ilmu merupakan sumber kejayaan untuk mencapai kebahagiaan dan kejayaan dalam hidup di dunia dan mahupun akhirat. Ilmu itu cahaya dan hidayah yang menerangi kehidupan manusia daripada kegelapan dan kejahilan menuju kesejahteraan yang nyata.

Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 18,

شَهِدَ اللّٰهُ اَنَّهٗ لَآ اِلٰهَ اِلَّا هُوَۙ وَالْمَلٰۤىِٕكَةُ وَاُولُوا الْعِلْمِ قَاۤىِٕمًاۢ بِالْقِسْطِۗ لَآ اِلٰهَ اِلَّا هُوَ الْعَزِيْزُ الْحَكِيْمُ

“Allah menyatakan bahwa tidak ada Tuhan selain Dia; (demikian pula) para malaikat dan orang berilmu yang menegakkan keadilan, tidak ada tuhan selain Dia, Yang Maha perkasa, Maha-bijaksana.”

Ilmu yang sebenar adalah mengenal kepada Tuhan yang Esa. Imam Syafie ada menyebut bahawa, 

“Tuntutlah ilmu sebanyak yang mungkin kerana ia akan menjaga kamu dan membuat kamu cemerlang di dunia dan di akhirat.”

-Imam Syafie

Oleh itu, Islam amat menitikberatkan tentang disiplin dan kesungguhan dalam menuntut ilmu supaya dapat diamalkan setiap apa yang dipelajari kelak. Tanpa disiplin dan kesungguhan dalam menuntut ilmu akan menyebabkan kurangnya penguasaan terhadap ilmu yang dituntut. Begitu juga kepentingan mengamalkan dan penguasaan terhadap hukum dan ilmu tajwid dalam pembacaan Al-Quran. Menurut Mazhab Imam Syafie, 

“Memelihara pembacaan kitab Allah SWT iaitu membaca secara bertajwid yang mu’tabar di sisi ahli Qiraat adalah suatu yang wajib, tiada keraguan lagi, sedangkan bacaan selain itu adalah berdosa dan karut.”

-Imam Syafie

#1 TAJWID ITU APA ?

Tajwid dari sudut bahasa ialah memperelokkan atau mencantikkan sesuatu. Manakala dari sudut istilah pula ia adalah suatu ilmu yang membincangkan cara membaca ayat-ayat Al-Quran menurut hukum yang tertentu, dengan menyebut huruf, menurut hak asli dan hak mendatang.

Hak asli : dengung pada huruf nun dan mim.

Hak mendatang : Tafkhim (tebal) dan tarqiq.

Tambahan pula, ilmu tajwid adalah suatu ilmu untuk mengetahui cara melafaz atau menyebut huruf-huruf yang terdapat dalam Al-Quran dengan betul. Sesetengah ulama’ ada menyebut bahawa tajwid ialah menunaikan hak huruf dan apa yang sepatutnya bagi sesuatu huruf Al-Quran seperti menunaikan bagi makhraj sesuatu huruf, sifat-sifatnya, dengungnya, panjangnya (mad), tebal atau nipisnya sebutan huruf dan lain-lain hukum ilmu tajwid.

Imam Ibn al-Jazari berkata:

فَالتَّجْوِيدُ هُوَ حِلْيَةُ التِّلَاوَةِ، وَزِينَةُ الْقِرَاءَةِ، وَهُوَ إِعْطَاءُ الْحُرُوفِ حُقُوقَهَا وَتَرْتِيبُهَا مَرَاتِبَهَا، وَرَدُّ الْحَرْفِ إِلَى مَخْرَجِهِ وَأَصْلِهِ، وَإِلْحَاقُهُ بِنَظِيرِهِ وَتَصْحِيحُ لَفْظِهِ وَتَلْطِيفُ النُّطْقِ بِهِ عَلَى حَالِ صِيغَتِهِ، وَكَمَالِ هَيْئَتِهِ ; مِنْ غَيْرِ إِسْرَافٍ وَلَا تَعَسُّفٍ وَلَا إِفْرَاطٍ وَلَا تَكَلُّفٍ

Maksudnya: 

“Tajwid adalah perhiasan bagi tilawah (bacaan), iaitu memberikan huruf-huruf hak mereka dan susunan mereka berdasarkan kedudukan mereka, dan meletakkan atau memulangkan huruf pada tempat keluarnya dan pada asalnya, dan melampirkannya dengan apa yang seumpamanya, dan membetulkan lafaznya, dan melembutkan sebutannya berdasarkan kepada bentuknya, dan juga keadaannya, tanpa melebih-lebih dan juga terkurang.”

#2 HUKUMNYA PULA BAGAIMANA ?

Mempelajari ilmu tajwid merupakan fardhu kifayah, yakni sekiranya wujud sebahagian yang sudah mempelajarinya, maka gugur kewajipan ke atas mereka yang lain, namun membaca Al-Quran dengan bertajwid merupakan suatu kelaziman dan kemestian, dengan kata sesiapa yang tidak menjaga tajwid ketika membacanya maka berdosalah dia.

Adapun hukum mempelajari ilmu tajwid terdapat beberapa pandangan dan perbezaan menurut ulama’ terdahulu dan kontemporari. Pertama, ulama’ terdahulu meletakkan kewajipan kepada orang Islam untuk mempelajari asas tajwid dan berdosa sekiranya meninggalkannya, dan asas tajwid ini adalah yang berkaitan dengan penjagaan huruf (dari sudut yang boleh mengubah struktur ayat dan juga maknanya) atau yang berkaitan selain darinya seperti hukum idgham, idzhar dan sebagainya.

Pendapat kedua, menurut kebanyakan ulama’ masa kini (kontemporari) memperincikan lebih lagi kepada dua bahagian iaitu wajib syar’ie dan wajib sina’ie

1) Wajib syar’ie : Wajib mempelajari asas tajwid yang bila mana ditinggalkan boleh membawa kepada perubahan makna atau kerosakan pada makna. 

2) Wajib sina’ie : Hanya diwajibkan ke atas ahli ilmu untuk menyempurnakan lagi bacaan Al-Quran, dan ia adalah sepertimana yang disebut oleh para ulama’ dalam kitab-kitab tajwid seperti idgham, ikhfa’ dan sebagainya. Jenis ini jika ia ditinggalkan daripada mempelajarinya tidaklah berdosa.

#3 KEPENTINGAN MEMPELAJARINYA

Penguasaan ilmu tajwid terhadap Al-Quran ini perlu difahami dan diamalkan untuk memperolehi rahmat dan keberkatan oleh Allah SWT. Kitab Al-Quran mempunyai kelebihan dan mukjizat yang hebat dan sempurna. 

Oleh itu, ilmu tajwid merupakan elemen terpenting dalam pembacaan Al-Quran. Justeru, sebagai umat Islam, amat penting untuk mempelajarinya supaya dapat mengekalkan dan memelihara daripada kesalahan-kesalahan membaca Al-Quran.   

Kesimpulannya, membaca Al-Quran dengan bertajwid adalah wajib. Lantaran itu, bagi sesiapa yang ingin membaca Al-Quran, wajib ke atasnya mempelajari ilmu tajwid yang asas dan ini bagi mengelakkan dari tersilap ketika membaca yang boleh membawa kepada perubahan lafaz dan makna sedangkan keduanya adalah kesalahan yang besar dalam pembacaan Al-Quran. Ini juga berdasarkan kepada kaedah:

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

Maksudnya: 

“Sesuatu kewajipan yang tidak dapat disempurnakan melainkan dengan sesuatu perkara, maka perkara tersebut juga menjadi wajib.”

(Rujuk laman Mufti)

Adapun mempelajari ilmu tajwid secara mendalam dalam bidang, maka ia merupakan fardhu kifayah. Jika ada seorang atau sebahagian dari masyarakat telah mempelajarinya, maka gugur kewajipan ke atas mereka yang lain. Namun, jika tiada yang mempelajarinya, maka semua menanggung dosa atas sebab meninggalkan kewajipan tersebut.

Anda perlukan khidmat Konsultasi ?
Jom bersama AZDAN supaya kami dapat bantu selesaikan sebarang masalah anda ! Jangan bimbang sepanjang KONSULTASI , ustaz ustazah akan bersama anda untuk mantapkan lagi bacaan Al-Quran.

Untuk makluman ! KONSULTASI ini bernilai RM50 , tapi untuk anda kami nak bagi secara PERCUMA je .
Ye PERCUMA sahaja. Berbaloikan ? Tunggu apa lagi jom ambil peluang ni !
Jom dapatkan Konsultasi bersama Azdan dengan Tekan link dibawah Sekarang 

Saya perlukan konsultasi mengaji dengan Azdan Hari Ini.