Tahukah anda, surah yang ke-31 di dalam Al-Quran iaitu Surah Luqman diambil daripada nama seorang hamba Allah iaitu Luqman Al-Hakim ?

Siapakah Luqman Al-Hakim ?

Luqman Al-Hakim adalah seorang hamba yang soleh dan kuat beribadah kepada Allah SWT. Beliau juga merupakan seorang yang mempunyai kebijaksanaan luar biasa sehingga mendapat gelaran “Al-Hakim” yang bermaksud bijaksana. 

Perwatakannya yang sangat suka memberi nasihat dan setiap kata-kata yang diucapkan dipenuhi dengan hikmah serta boleh dijadikan sebagai panduan.

Sikap terpuji Luqman Al-Hakim yang suka memberikan nasihat telah menjadikan pesan Luqman kepada anaknya diabadikan dalam kitab suci Al-Quran iaitu dalam surah Luqman.

Surah tersebut merupakan surah ke 31 dalam Al-Quran dan ia tergolong dalam Surah Makiyyah. Surah ini terkandung sebanyak 34 ayat. 

Pesan Luqman terhadap anaknya telah diceritakan dalam surah ini untuk dijadikan panduan oleh umat Islam dalam kehidupan seharian.

Jom kita hayati 5 Pesan Luqman Terhadap Anaknya !

#1 TIDAK MENYEKUTUKAN ALLAH SWT

Firman Allah SWT:

وَإِذْ قَالَ لُقْمَـٰنُ لِٱبْنِهِۦ وَهُوَ يَعِظُهُۥ يَـٰبُنَىَّ لَا تُشْرِكْ بِٱللَّهِ ۖ إِنَّ ٱلشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌۭ

Maksudnya:

“Dan, ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi pelajaran kepadanya, ‘Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman yang besar”.

{Surah Luqman:13}

Pesan Luqman supaya jangan menyembah selain daripada Allah SWT. Sesungguhnya Allah itu Maha Esa dan hanya Allah SWT yang layak untuk disembah. 

Beliau juga mengingatkan bahawa perbuatan mensyirikkan Allah itu adalah dosa besar dan dimurkai Allah SWT.

#2 BERBUAT BAIK KEPADA IBUBAPA

Firman Allah SWT:

وَوَصَّيْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ بِوَٰلِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُۥ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍۢ وَفِصَـٰلُهُۥ فِى عَامَيْنِ أَنِ ٱشْكُرْ لِى وَلِوَٰلِدَيْكَ إِلَىَّ ٱلْمَصِيرُ

Maksudnya:

“Dan Kami perintahkan kepada manusia supaya memuliakan ibu bapa mereka. Ibu-ibu mereka telah melahirkan mereka dengan susah payah demi kesukaran, dan  tempoh menceraikan susunya mengambil masa dua tahun. Maka bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu. KepadaKu adalah pulangan terakhir”.

{Surah Luqman:14}

Ayat ini menjelaskan tentang pesan Luqman kepada anaknya untuk sentiasa berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Setiap orang mesti berbuat baik kepada ibu bapa kerana mereka telah bersusah payah menjaga kita sejak dari kecil lagi. 

Jasa ibu bapa takkan pernah terbalas apatah lagi pengorbanan seorang ibu yang telah mempertaruhkan nyawanya untuk melahirkan kita ke dunia ini. 

Oleh itu, sentiasalah berbuat baik kepada kedua orang tuamu selagi ianya tidak melanggar syarak. Pasti hidupmu akan diberkati dan diredhai oleh Allah SWT.

In Sha Allah…

#3 MENDIRIKAN SOLAT SERTA AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR

Firman Allah SWT:

يَـٰبُنَىَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأْمُرْ بِٱلْمَعْرُوفِ وَٱنْهَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَٱصْبِرْ عَلَىٰ مَآ أَصَابَكَ ۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ ٱلْأُمُورِ

Maksudnya:

“Wahai anakku sayang! Dirikanlah sembahyang, anjurkan yang makruf dan cegahlah yang munkar, dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Pastinya ini adalah azam untuk dicita-citakan”.

{Surah Luqman:17}

Semua orang pasti dah tahu bahawa solat itu sangat penting kerana ia merupakan tiang agama. Begitu juga pesan yang disampaikan Luqman Al-Hakim dalam ayat di atas supaya menunaikan solat.

Pesan Luqman tentang solat ini diiringi juga dengan pesan supaya kita sentiasa mengajak orang kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. 

Kita sebagai umat Islam sangat dituntut untuk melakukan dua perkara penting di atas. Jika kita istiqamah melaksanakannya, In Sha Allah hidup kita sentiasa diberkati Allah SWT.

#4 TIDAK SOMBONG DAN ANGKUH

Firman Allah SWT:

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِى ٱلْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍۢ فَخُورٍۢ

Maksudnya:

“Dan janganlah kamu memalingkan hidungmu kepada manusia, dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan sombong. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri”.

{Surah Luqman:18}

Ayat di atas adalah pesan Luqman supaya jangan bersifat sombong sesama manusia dan juga membangga diri dengan kelebihan yang dimiliki. 

Sesungguhnya Allah SWT membenci manusia yang bersifat sombong. Segala kelebihan yang kita miliki hari ini adalah milik Allah SWT dan bila-bila masa sahaja boleh ditarik semula.

Oleh itu, tidak perlulah terlalu bangga dengan apa yang kita miliki sekarang kerana ianya bukanlah sesuatu yang bersifat kekal. 

#5 BALASAN ALLAH SWT 

Firman Allah SWT:

يَـٰبُنَىَّ إِنَّهَآ إِن تَكُ مِثْقَالَ حَبَّةٍۢ مِّنْ خَرْدَلٍۢ فَتَكُن فِى صَخْرَةٍ أَوْ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ أَوْ فِى ٱلْأَرْضِ يَأْتِ بِهَا ٱللَّهُ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَطِيفٌ خَبِيرٌۭ

Maksudnya:

“Luqman menambah, “Wahai anakku! Walaupun sesuatu amal itu seberat biji sawi sama ada ˹tersembunyi di dalam batu atau di langit atau di bumi Allah akan mengeluarkannya. Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui”.

{Surah Luqman:16}

Sebagai manusia, kita dituntut untuk sentiasa melakukan kebaikan dan menjauhi segala larangan Allah SWT tidak mengira waktu dan tempat.

Jika kita merasa tidak menjadi salah untuk sesekali ingkar terhadap Allah SWT kerana tiada orang yang akan tahu, itu adalah sangat tidak betul kerana Allah SWT sentiasa melihat dan mengetahui segala perbuatan hamba-hambaNya.

Sebagaimana pesan Luqman dalam ayat di atas, Allah SWT itu Maha Mengetahui. 

Itulah 5 pesan Luqman Al-Hakim kepada anaknya dalam surah Luqman yang dapat sama-sama kita jadikan sebagai pedoman dalam kehidupan seharian.

Banyak lagi surah- surah lain di dalam Al-Quran yang mempunyai kisah menarik dan boleh dijadikan sebagai panduan hidup. 

Rugi tau kalau kita tidak mahu membaca Al-Quran sambil menghayati pesanan-pesanan penting yang ingin disampaikan di dalamnya. 

Anda perlukan khidmat Konsultasi ?
Jom bersama AZDAN supaya kami dapat bantu selesaikan sebarang masalah anda ! Jangan bimbang sepanjang KONSULTASI , ustaz ustazah akan bersama anda untuk mantapkan lagi bacaan Al-Quran.

Untuk makluman ! KONSULTASI ini bernilai RM50 , tapi untuk anda kami nak bagi secara PERCUMA je .
Ye PERCUMA sahaja. Berbaloikan ? Tunggu apa lagi jom ambil peluang ni !
Jom dapatkan Konsultasi bersama Azdan dengan Tekan link dibawah Sekarang 

Saya perlukan konsultasi mengaji dengan Azdan Hari Ini.